Kajian lebih rapi sebelum pinda Akta Perubatan

Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menegaskan perlunya kajian terperinci dan persiapan yang lebih rapi sebelum meminda Akta Perubatan 1971 dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut di Parlimen hari ini.

- Advertisement -

Sebagai wakil rakyat yang mewakili pengguna perkhidmatan kesihatan, beliau menekankan tanggungjawab penggubal undang-undang untuk menjaga masyarakat, khususnya dalam sektor kesihatan.

Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan mesti dibuat dengan teliti agar RUU yang diluluskan benar-benar dapat menjamin kualiti dan keselamatan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Salah satu isu utama dalam RUU tersebut adalah untuk mengatasi masalah kekurangan doktor pakar dalam negara.

“Isu di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja mengenai kuantiti, tetapi juga memastikan doktor pakar dalam pelbagai bidang terjamin kualiti latihannya dan tercapai pulangan atas pelaburab (ROI),” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Akta Perubatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menekankan bahawa pelaburan masa, wang, tumpuan, peribadi dan sumber kerajaan adalah penting untuk menyelesaikan masalah kesihatan penduduk Malaysia yang memerlukan kepakaran, selain menjaga imej negara bagi tujuan pelancongan perubatan (medical tourism).

Dr Halimah turut mengajukan beberapa soalan berkaitan kesediaan kerajaan untuk meminda akta tersebut.

“Dengan keterbatasan bajet, logistik, modal insan, dan tenaga pengajar, apakah kementerian benar-benar bersedia, apa kata buat kajian lebih lanjut dan bersiap sedia dengan lebih baik,” katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan mengenai jaminan bahawa doktor yang dilatih akan kekal berkhidmat dengan kerajaan dan tidak menggunakan KKM sebagai batu loncatan untuk bekerja di luar negara.

Dalam nada yang sama, Halimah mempersoalkan adakah KKM mahu bertukar menjadi institusi pengajian tinggi, satu dasar besar yang memerlukan persiapan rapi.

Beliau menutup dengan merumuskan bahawa masalah utama yang dihadapi adalah kekurangan masa, tenaga kerja dan bajet.

“Dengan tambahan beban melatih pakar, KKM perlu bersedia untuk menghadapi perubahan besar dalam ekosistem perkhidmatan kesihatan.

“Apakah langkah yang diambil untuk memastikan sistem sedia ada tidak terganggu dan apakah anjakan atau perubahan besar yang perlu dibuat untuk memastikan latihan doktor pakar ini berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -