
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa membuka ‘pintu’ kepada pelabur yang berminat melabur di Kelantan termasuk membuka kilang atau seumpamanya.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan akan memberi kerjasama terbaik bagi membantu memudah cara pelabur yang berminat membuka kilang atau berurus niaga di negeri itu.
Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengukuhkan lagi pembangunan ekonomi.
“Kerajaan negeri akan mewujudkan beberapa lokasi kawasan industri yang strategik antaranya Pasir Mas Halal Park, Tok Bali Industri Park dan Bandar Dato’ Bentara, Gua Musang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kilang Paip HDPE Kel-Intaaj Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian ll Pengkalan Chepa. (Foto atas)
Turut hadir anggota-Anggota Exco kerajaan negeri; Adun Panchor Dato’ Mohd Amar Abdullah, Pengerusi Duramine Sdn Bhd, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, Wan Mohd Husni Wan Osman.
Sempena majlis itu diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kel Intaaj yang diwakili Khadim Salem Khalaf dan Dr Nazmi Ghazali Azmi mewakili Air Kelantan Sdn Bhd.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, pembinaan kilang paip HDPE dengan kerjasama syarikat Dura Mine membolehkan Kelantan terus melangkah bagi menjalinkan kerjasama lain pada masa akan datang.
“Saya difahamkan Dura Mine juga membuka kilang di Beranang, Selangor dan Ankara Turkiye dan di Kelantan kilang yang ketiga,” katanya.
Oleh itu beliau berkata, Dura Mine diharap membuka kilang-kilang lain di bawah kendalian syarikat tersebut antaranya pengeluaran optical fiber cables. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











