
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai keperluan negara terhadap jururawat asing walaupun ramai pelajar jururawat tempatan masih belum mendapat pekerjaan.
Menurut Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), situasi itu menimbulkan persoalan sama ada senario yang sama juga berlaku dalam bidang kedoktoran dan bidang-bidang berkaitan.
“Berapakah nisbah doktor pakar sekarang ikut kluster paling utama yang diperlukan dan berapa bilangan pakar dan kluster keperluan mendesak.
“Kerana kita tengok daripada perbahasan semua pihak kita memerlukan ramai sangat doktor dalam masa yang sangat terdesak.
“Jadi kita perlu tahu keutamaan supaya kita boleh membuat keputusan yang terbaik bagi keperluan semua,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Akta Perubatan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Mumtaz juga menyokong hujahan bahawa kualiti kepakaran tidak boleh dikompromi.
“Mengapa sebelum ini tidak timbul masalah mengenai kualiti kepakaran tempatan dan luar negara.
“Tapi pada kali ini kita nampak suatu perbahasan panjang lebar dalam kalangan pakar perubatan dan kita mengharapkan agar suasana ‘win-win’ dapat dicapai.
“Ini penting supaya kita dapat mempertimbangkan kerana kita ada nyawa rakyat dalam negara dan pesakit luar negara yang datang untuk mendapatkan khidmat jagaan dan rawatan perubatan kita serta maruah Malaysia di mata dunia dari segi kepakaran kesihatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











