
KUALA LUMPUR: Satu perancangan strategi dan langkah perlu dibuat oleh kerajaan bagi mempertingkatkan kapasiti tenaga kerja dan sekali gus pusat data untuk memenuhi keperluan yang mendadak dan tinggi bagi agenda Kecerdasan Buatan (AI) negara.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, berdasarkan kepada kajian Research House Malaysia, perkara itu memerlukan 5 gigawat menjelang 2030 dan 10 hingga 15 gigawat menjelang 2040.
Beliau berkata, ini berikutan kerana AI memerlukan banyak pusat data dan ia memerlukan kos dan tenaga yang tinggi kapasitinya.
“AI dijangka akan meningkatkan keperluan tenaga untuk pusat data sebanyak 160 peratus menjelang 2030 nanti. Masa kini pusat data seluruh dunia hanya menggunakan satu hingga dua peratus daripada jumlah tenaga.
“Keduanya, apakah perancangan dan strategi kerajaan khususnya MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi), MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) dalam memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dalam bidang yang diperlukan, yang dianggarkan berjumlah 20,000 dalam masa lima tahun yang akan datang. Dan apakah kemajuan yang dicapai dalam aspek pendidikan dan pembangunan tenaga kerja teknikal di Fakulti AI yang ditubuhkan di UTM (Universiti Teknologi Malaysia),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata beliau bersetuju bahawa penggunaan elektrik amat tinggi dan kerajaan akan menetapkan penggunaan tenaga yang berkesan (PUE) bersama dengan penggunaan air yang berkesan (WUE) supaya memastikan kegunaan elektrik dan air dapat dikawal dan digunakan secara paling efektif dalam tahap yang paling efektif.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan mengapa sebahagian besar pelaburan modal berkaitan AI di Asia Tenggara lebih bertumpu di Singapura sebanyak (AS$8.4 bilion) dan Indonesia sebanyak (AS$1.9 bilion) berbanding Malaysia sekitar (AS$371 juta) berdasarkan laporan East Asia Forum, dan apakah tindakan Kerajaan bagi menggalakkan pelaburan berkaitan AI di Malaysia. – HARAKAHDAILY 17/7/2024











