
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi yang hendak dipinda dicadangkan supaya ditarik balik semula walaupun sudah sampai ke tahap telah dibuat libat urus dan dibawa masuk ke peringkat jawatankuasa.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, ini berikutan kerana ada persoalan yang besar melibatkan keselamatan data negara masih belum diselesaikan dan semua pihak tidak kira parti politik perlu menolak RUU itu.
Menurutnya, terdapat tiga perkara induk yang perlu diselesaikan berkenaan RUU itu yang melibatkan keselamatan data negara.
Perkara yang pertama ujarnya, ialah perkataan pengguna data akan diubah kepada pengawal data di dalam akta dan pindaan am yang dibuat.
Namun, katanya persoalannya kenapa dalam RUU itu tidak dimasukkan definisi ataupun tafsiran siapakah pengawal data yang dimaksudkan.
“Yang kedua, adakah tidak ada definisi itu menjadikan kita mengguna pakai tafsiran pengawal data sebelum ini yang sedia ada iaitu pengguna data?
“Pengguna data, seseorang yang sama ada berseorangan atau bersesama atau bersama dengan orang lain memproses apa-apa data peribadi dan sehingga habis Seksyen 16 sepertimana akta ibu.
“Ini menjadi persoalan kerana tidak didefinisikan siapakah pengawal data yang dimaksudkan ini?
“Dan berkaitan dengan pengawal data ini juga, saya mohon pandangan Yang Berhormat Menteri, kenapa kita nak memansuhkan ataupun memadam perkataan pengguna data dan digantikan dengan pengawal data sedangkan amalan di UK (United Kingdom) dibezakan kedua-dua bidang kuasa ini. Pengguna data satu pihak lain, pengawal data satu pihak lain.
“Sedangkan kita nak hapuskan pengguna data dan gantikan dengan pengawal data. Itu satu perkara yang perlukan penjelasan,” soal beliau.
Afnan mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
“Apabila dirujuk kepada pindaan Seksyen 129 yang nak dicadangkan itu untuk subseksyen satu, jika mengikut akta induk, akta ibu yang sedia ada subseksyen satu yang hendak dipotong itu ialah suatu kuasa yang diberi kepada menteri atau pesuruhjaya dengan syor dan juga disiarkan melalui warta,” ujarnya.
Maka menurutnya, pemindahan data peribadi ke luar Malaysia mesti melalui tiga proses ataupun tiga lapisan ini.
“Tetapi apabila kita hendak memansuhkan, memotong subseksyen satu itu, adakah ini bermaksud kuasa menteri itu sudah tidak ada.
“Adakah ini bermaksud syor pesuruhjaya juga sudah tidak ada kerana perenggan 48e akta ibu juga dipotong iaitu syor pesuruhanjaya itu juga sudah pun ditiadakan dan proses warta itu sudah tidak ada.
“Dan satu perkara yang lebih bimbang lagi ialah kuasa untuk memindahkan data peribadi ke luar Malaysia ini dipindahkan daripada Yang Berhormat Menteri kepada pihak pengawal data itu tadi.
“Jadi dalam keadaan kita tak tahu siapa pengawal data yang dimaksudkan pihak mana, tiba-tiba kita bagi absolute power (kuasa penuh) kepada pengawal data. Ini membimbangkan kita, semua.
“Dan dalam keadaan kita ada safety net (jaringan keselamatan), kita ada menteri yang perlu memberi izin, kita ada syor pesuruhjaya, kita ada proses pewartaan, dalam keadaan kita ada lapisan-lapisan sekuriti ini pun data kita dicuri, data kita dikeluarkan tanpa pengetahuan pemilik data apatah lagi bila kita buang kuasa menteri ini.
“Sudah tentulah kita punya sekuriti semakin hilang seolah-olah akta ini, akta yang tidak ada taring kalau kita setuju pindaan ini. Dan pengawal data tadi yang diberi kuasa boleh memindahkan data-data peribadi yang ada dua kategori ni. Data peribadi, data komersial.
“Data peribadi sensitif yang berkaitan dengan segala macam hal maklumat kesihatan, keadaan fizikal, mental, pendapat politik, kepercayaan agama dan banyak lagi maklumat, kita bahagikan kuasa penuh kepada pengawal data untuk bawa data kita keluar daripada Malaysia tanpa dikawal oleh pihak menteri.
“Itu apa yang saya faham berdasarkan RUU yang hendak dipinda ini,” ujar beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Tambahnya, yang ketiga merujuk kepada suatu kes dalam Mahkamah Rayuan tahun 2023 antara Ranjan Paramalingam melawan persatuan penduduk Taman Bangsar di sini.
Dalam kes ini ujarnya, pihak perayu mengambil tindakan sivil kepada persatuan penduduk tersebut kerana dikatakan telah menggunakan data peribadinya tanpa izin.
“Yang saya nak sebutkan ialah hakim telah membuat penghakiman, (di mana) penghakiman ini memberi presedence (duluan) kes bahawasanya PDPA (Akta Perlindungan Data Peribadi) yang sedia ada ini tidak boleh digunakan untuk diambil tindakan sivil oleh mangsa kepada pihak yang menganiayai dia.
“Sepatutnya PDPA ni kita perketatkan, kita tambah lapisan-lapisan sekuriti yang lain bukannya kita melonggarkan dengan kita memansuhkan ataupun memotong kuasa menteri.
“Dan ini boleh jadi kerana ada keputusan kes seperti inilah boleh jadi menyebabkan akta kita ni mudah dicuri, mudah digunakan oleh pihak lain kerana tidak boleh diambil tindakan sivil berdasarkan akta yang sedia ada,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 16/7/2024











