RUU perlu kajian menyeluruh, bahaya keselamatan negara

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perlindungan Data Peribadi dicadangkan supaya ditangguhkan sehingga satu kajian yang lebih menyeluruh dapat dibuat oleh pihak kementerian yang berkaitan.

- Advertisement -

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, beliau bersetuju dengan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa pindaan RUU itu sangat membahayakan keselamatan negara.

“Adakah kuasa menteri akan dihapuskan? Kuasa penuh diberi kepada pihak yang dinamakan pengawal data tanpa apa-apa definisi yang jelas? Siapakah pengawal data tersebut?

“Bagaimana mungkin data kita boleh dipindahkan ke luar negara tanpa perlu izin menteri ataupun pesuruhjaya, kerana sebelum ini perlu mohon kuasa menteri dengan syor pesuruhjaya melalui proses warta akan tetapi RUU ini akan menghapuskan semua kuasa menteri.

“Oleh itu data kita akan sewenang-wenangnya digunakan di negara lain oleh sesiapa sahaja dengan kuasa pengawal data yang diberikan kuasa penuh,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya, terdapat kekurangan kesedaran dan pemahaman yang menyeluruh mengenai undang-undang perlindungan data peribadi dalam kalangan individu dan organisasi di Malaysia.

Ujarnya, pindaan RUU itu mungkin menambahkan lagi kepada kekeliruan jika usaha pendidikan dan libat urus yang mencukupi tidak dilaksanakan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana sistem dan data di dalam Pangkalan Data Utama (PADU) ini dapat dipelihara daripada ancaman penyalahgunaan dan pencerobohan.

“Dan adakah data yang diproses dan disimpan di dalam data PADU dikawal selia oleh Akta Perlindungan Data Peribadi Akta 709,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -