Kelantan teroka tanaman cendawan kukur

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menjadikan tanaman cendawan kukur (kulat sisir) yang tumbuh di batang kayu reput bagi membantu petani menjana pendapatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, cendawan itu menjadi kegemaran orang zaman dahulu sebahagai lauk yang dinikmati bersama telor dan sayur lemak kuning.

Katanya, ia semakin sukar ditemui di pasaran tempatan biarpun masih ramai menggemarinya.

“Cendawan kukur biasanya tumbuh di batang kayu getah yang sangat enak dan berkhasiat.

“Menurut kajian Institut Sains Biologi Malaysia Universiti Malaya, cendawan kukur boleh didapati sepanjang masa dan mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi,” katanya di sini.

Oleh itu kata beliau seramai 10 peserta dipilih menghadiri Kursus Cendawan Kukur Belia Tani Al Falah di Ar Rehlah Kafe Agro Pelancongan Kompleks Pertanian Bukit Temang, Perlis.

Menurutnya, kursus pendedahan teknologi penanaman kulat sisir itu  dikelola Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).

“Melihat kepada permintaan pasaran di Kelantan, saya percaya dengan menimba ilmu di Perlis kita mampu memperluaskan lagi industri cendawan kukur di Kelantan,” ujarnya.

Sementara itu, pelancong dari Johor Bahru Mazlinda Yaakub, 49, ketika ditemui berkata, beliau membeli sebanyak tiga kilogram cendawan sisir di Pasar Siti Khadijah, baru-baru ini.

Menurutnya cendawan tersebut sukar ditemui di Johor Bahru dan mengambil kesempatan membelinya ketika berkunjung ke Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

- Advertisement -