Jinan University dalami kebudayaan Melayu Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jinan University (JNU) dari China.

- Advertisement -

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, MoU itu bagi mempertingkatkan pengetahuan, penyelidikan dan pertukaran kebudayaan.

“Saya berharap MoU ini dapat menghubungkan kebudayaan Melayu Kelantan dan kebudayaan Guanzhou melalui kursus jangka pendek atau panjang dalam bahasa Mandarin.

“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua belah pihak di atas termaterainya MoU ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani secara atas talian antara KIAS dan JNU. KIAS diwakili Rektornya, Prof Dr Emeritus Ab Aziz Mohd Zin, manakala JNU Timbalan Canselor Prof Zhang Xiaoxin.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan KIAS Dr Nurul Akma Mohamed dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail.

KIAS akan menghantar pelajar untuk menimba ilmu dan kemahiran di Institut Bahasa dan Kebudayaan Cina di universiti tersebut.

Selain itu JNU turut melakukan inisiatif sama bagi membolehkan masyarakat antarabangsa dapat mendalami kebudayaan Melayu Kelantan.

Wan Roslan juga berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi galakan institusi pengajian tinggi tempatan menjalinkan kerjasama dalam pendidikan. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

- Advertisement -