
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menyatakan hasrat sama ada akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, ini berikutan umum mengetahui bahawa kutipan GST bagi tempoh dari April 2015 sehingga pemansuhan GST pada Mei 2018 adalah RM184 bilion.
Sehubungan itu, ujarnya, kutipan SST pula sebanyak RM150.4 bilion di antara September 2018 hingga 2023 yang menunjukkan kutipan tersebut berkurangan berbanding kutipan GST.
Menurutnya, umum mengetahui bahawa hasil pungutan cukai di Malaysia ini adalah yang terendah iaitu 11.8 peratus sekiranya dibandingkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dan Singapura.
“Apakah strategi berterusan Yang Berhormat Menteri yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Hasil dan juga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meningkatkan cukai-cukai kutipan di masa akan datang,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, beliau dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengalu-alukan kehadiran rombongan daripada Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Dewan Rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam jawapannya berkata kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan GST kerana ia bersifat cukai penggunaan yang berasaskan luas.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan keberkesanan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang bermula 6 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024, bilangan syarikat dan individu yang telah menyertainya serta nilai kutipan hasil yang berjaya diperoleh agar dapat dibelanjakan bagi tujuan kebaikan dan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 16/7/2024











