14 laluan ditutup Sabtu ini sempena Istiadat Pertabalan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 jalan raya di sekitar ibu kota bakal ditutup secara berperingkat sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara di sini, Sabtu (20 Julai) ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, 14 jalan raya yang ditutup sementara bermula jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan menjelang 8 malam pula bagi Majlis Santapan Diraja.

- Advertisement -

“Jalan raya yang terlibat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, penutupan jalan berkenaan adalah untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan tersebut dan tiba mengikut masa yang telah ditetapkan; dan ia seterusnya akan dibuka semula selepas melalui laluan berkenaan.

“Seramai 387 pegawai kanan serta pegawai rendah dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ditempatkan bagi melaksanakan penugasan mengiringi orang kenamaan, mengawal lalu lintas, menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya,” ujarnya.

Namun begitu, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk tidak melalui yang terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -