
KOTA BHARU: Kelantan berusaha membangunkan tanaman mangga variasi baru dengan menimba pengalaman Perlis yang terkenal tanaman harumanis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, negeri di bahagian utara Semenanjung terkenal dengan pengeluaran mangga harumanis dan pelbagai tanaman lain.
Katanya, Kelantan dan Perlis mempertingkatkan kerjasama bagi memperkasakan lagi industri tanaman buah-buahan.
“Hubungan antara Kelantan dan Perlis akan dipertingkatkan terutamanya dalam sektor tanaman buah-buahan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Baru-baru ini Tuan Mohd Saripudin mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Perlis. Turut serta pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan.
Rombongan tersebut melawat Ladang Superfruits Valley di kawasan seluas 25 hektar yang menghasilkan buah-buahan berkhasiat tinggi seperti tin, gac, mulberi, finger lime dan lemon.
Tuan Mohd Saripudin berkata, pelbagai produk dihasilkan daripada tanaman yang terdapat di ladang tersebut antaranya yougurt buah, buah-buahan yang dikeringkan dan minuman.
Kata beliau ladang terbabit diusahakan Robin Lim sejak 2016 menggunakan teknologi moden termasuk pertanian pintar.
“Melihat kejayaan perniagaan pertanian oleh pengusaha Superfruits Valley tersebut, insya-Allah dengan kaedah dan ilmu yang betul, kita juga mampu berjaya,” katanya.
Sempena kunjungan tersebut beliau juga mengunjungi hormat bertemu rakan sejawatnya di Perlis, Razali Saad. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











