
GUA MUSANG: Batu marmar dihasilkan di Bukit Batu Bong dekat sini diakui terbaik berbanding galian diimport dari negara luar kerana mempunyai ketumpatan tinggi.
Ahli Lembaga Pengarah Kelstone Sdn Bhd, Mohd Rodzi Jaafar berkata, marmar Kelantan bermutu tinggi kerana kalis air batu.
Katanya, perkara itu diakui pengurusan syarikat batu marmar Antico Stone Sdn Bhd di Simpang Pulai Perak.
“Mereka akui batu marmar yang dilombong di Gua Musang terbaik kerana ketumpatan dan kalis air batu,” katanya di sini, semalam.
Baru-baru ini Mohd Rodzi bersama rombongan Kelstone Sdn Bhd mengadakan lawatan kerja ke kilang milik Antico Stone di Simpang Pulai Perak.
Lawatan itu diadakan sempena lawatan kerja dan retreat Kelstone 2024 di Gua Musang.
Kelstone iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Syarikat terbabit berperanan meneroka pengeluaran bahan galian di Kelantan.
Batu marmar yang dikeluarkan di Bukit Batu Bong Mukim Ulu Nenggiri, Bertam Gua Musang jenis putih, kelabu dan putih kekuningan.
Kerja-kerja pembangunan di kuari batu marmar tersebut dimulakan pada Mei 2010. Dan blok-blok mentah marmar berjaya dihasilkan pada Mac 2011.
Mohd Rodzi yang juga ADUN Gaal berkata, batu marmar yang dikeluarkan di Bukit Batu Bong dicadang dijenama menggunakan nama Kelstone atau Meranto.

“Kini usaha promosi sedang giat dijalankan untuk memperkenalkan batu marmar Kelantan ke luar negara termasuk di Eropah.
“Pada September hadapan batu marmar Kelantan akan dipamerkan di Ekspo Batuan di Itali,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2024











