Bina ‘pulau buatan’ di lokasi hakisan pantai

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja di tapak kawasan hakisan pantai sedang dijalankan dengan pembinaan ‘pulau buatan’, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

- Advertisement -

Beliau berkata, jajaran kawasan pantai itu berdepan dengan suasana hakisan yang agak kritikal setiap kali musim tengkujuh.

Sehubungan itu, menurutnya, beliau dan ADUN Batu Rakit, Shafizi Ismail mengikuti taklimat Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Kuala Nerus di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, petang kelmarin. Turut hadir ialah Jurutera Daerah JPS Kuala Nerus dan Ahli Lembaga Pengarah GPQ Sdn Bhd.

Justeru, ujarnya projek yang sekian lama diharapkan penduduk adalah sebahagian daripada usaha melindungi pantai berdepan hakisan.

“Ia tidak akan pulih seperti sediakala, tetapi akan memberi kesan yang lebih positif buat penduduk.

“Buat masa ini, kerja-kerja di tapak sedang dijalankan dengan pembinaan ‘pulau buatan’,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri berkata, batu-batuan yang dihantar menggunakan tongkang kargo dari Kemaman di samping jalan darat.

Tambahnya, sebanyak 16 buah pulau buatan akan dibina dalam tempoh projek.

Menurutnya lagi, untuk sebelum musim tengkujuh, beberapa buah pulau buatan dijangka siap khususnya di beberapa lokasi kritikal.

Jelasnya, beberapa isu berbangkit yang merencatkan perjalanan projek telah dikenal pasti untuk ditangani segera.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.

“Sama-sama kita berdoa agar musim tengkujuh tahun ini tidak memudaratkan penduduk dan akan melalui pemulihan kembali selepas ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

- Advertisement -