
KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah menyaksikan kemenangan besar kepada calon Perikatan Nasional (PN) meskipun peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding pilihan raya negeri lalu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu menunjukkan pendirian tegas rakyat terhadap isu kritikal yang timbul dalam negara ketika ini.
“Salah satu isu utama yang berlegar di Sungai Bakap adalah masalah bekalan air yang berlarutan.
“Isu subsidi diesel turut menjadi perhatian dan yang paling utama terangkum di dalam semua itu ialah kos sara hidup yang meningkat keseluruhan rakyat terutama para pengundi di Sungai Bakap,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambahnya, suasana gerak kerja jentera di Sungai Bakap yang telah ditambah baik berbanding PRK sebelumnya di Johor, Pelangai, dan Kuala Kubu Baharu antara yang menyumbang kepada kejayaan itu.
“Kita mencuba pelbagai cara, alhamdulillah ia terbukti lebih berkesan, dan saya percaya sekiranya wujud pilihan raya lain selepas ini di Nenggiri dan kemungkinan pilihan raya di peringkat parlimen, model yang sama juga akan dilaksanakan.
“Yang utama kerjasama yang lebih tersusun di kalangan petugas parti dari pelbagai latar belakang, termasuk Bersatu, PAS, Gerakan, dan Indian political parti bersama dalam PN.
“Pengalaman ini memberi keyakinan bahawa rentak yang baik telah diperoleh untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Mengulas berhubung PRK DUN Nenggiri, Samsuri berkata, pemimpin parti itu dijangka akan menilai keputusan di Sungai Bakap sebelum duduk bersama untuk membincangkan strategi bagi PRK yang seterusnya.
Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan sementara hari penamaan calon dan pengundian awal pada 3 dan 13 Ogos.
PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada 18 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN berkenaan kosong selepas menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan daripada parti Bersatu.
Ia susulan tindakan Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 7/7/2024











