PRK Sg Bakap beri isyarat kerajaan DAP bakal goyang

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap menjadi gelombang kebangkitan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, kubu kuat DAP di Pulau Pinang sudah menampakkan lorong yang kerajaan itu bakal goyang.

“Walaupun kerajaan DAP Pulau Pinang tidak tumbang, tetapi sekurang-kurangnya dapat menafikan dua pertiga pemerintahan parti itu dalam kerajaan Pulau Pinang.

“Kemenangan calon PN itu juga sebagai bukti rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) itu lagi, sebahagian besar undi Melayu Islam khasnya anak muda di negeri yang dimenangi DAP itu akibat beberapa isu yang tidak pernah selesai,

Katanya, media hanya melaporkan masalah air berlaku di Kelantan, namun menutup kegagalan membekalkan air bersih pada rakyat sendiri yang telah berlaku sejak sekian lama di Pulau Pinang.

“Sokongan kepada calon yang mewakili PH-BN di negeri pimpinan DAP telah menurun kerana kegagalan mereka sendiri.

“Pada masa yang sama pengundi yakin dengan PN dan berharap gabungan ini yang akan mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata, pengundi DUN Sungai Bakap bijak memilih calon PN kali ini bagi menggantikan arwah Nor Zamri Latiff yang memenangi kerusi berkenaan pada PRN tahun lepas.

Tambahnya, kenaikan harga diesel juga memberi sumbangan kepada kemenangan calon PN ditambah pula dengan keistimewaan calon berkenaan sehingga berjaya menawan hati pengundi.

“Kesepakatan ini harap dapat dikekalkan untuk kita menang pada PRK atau PRU akan datang.

“Semoga kemenangan ini kekal dan yang penting gelombang kemenangan ini adalah protes rakyat dalam terjemah undi mereka di Sungai Bakap terhadap kerajaan” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pengundi yang memilih calon PN pada PRK semalam.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada jentera pemuda PAS dari Kelantan yang turut bersama Badan Perhubungan PAS negeri turun berkempen ke DUN berkenaan mengikut gelombang hingga hari pengundian.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -