Rakyat tolak kerajaan ‘cakap tidak serupa bikin’

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemenangan calon Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam membuktikan rakyat menolak calon dari parti sebuah kerajaan yang ‘menelanjangkan’ demokrasi serta ‘cakap tidak serupa bikin’.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penolakan rakyat terhadap calon PH BN itu membuktikan mereka tidak senang dengan dasar negara khususnya berkaitan ekonomi.

Menurutnya, akibat tidak tahu mengurus pemerintahan negara, rakyat mengalami kesempitan hidup disebabkan harga barangan keperluan harian naik mendadak.

“Keadaan semakin ketara apabila kerajaan mengubah dasar subsidi diesel sehingga kenaikan harga bahan api itu amat ketara menyebabkan pelbagai sektor mengalami kenaikan sama ada perumahan, pelancongan selain barangan keperluan harian,” ujarnya ketika dihubungi pagi ini bagi mengulas kemenangan calon PN pada PRK DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail, semalam.

Pada masa yang sama, kata Timbalan Menteri Besar itu lagi, rakyat juga marah apabila pemimpin kerajaan tidak dapat melaksanakan janji PRU lalu, malah membuat tindakan yang amat tidak wajar ketika menjadi kerajaan.

“Cakap tidak serupa bikin, waktu pembangkang lain, bila jadi pembangkang lain, tiada lagi membawa isu rakyat ketika menjadi kerajaan,” katanya lagi.

Fadzli memberitahu, masyarakat bukan Melayu juga sudah mulai yakin kepada PN.

Tambahnya, apabila bukan Melayu tidak keluar mengundi, itu tandanya mereka hilang keyakinan dan kecewa dengan dasar kerajaan PH BN hari ini.

Beliau turut berpandangan, ahli Umno lebih yakin dengan dasar-dasar PN berbanding PH terutamanya dalam membela kepentingan bangsa, negara dan agama.

Pada masa yang sama, pengaruh bekas pimpinan Umno yang sudah bersama PAS yang masih berakar di jiwa orang Umno seperti Tan Sri Annuar Musa, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar dan lain-lain menyebabkan sokongan terhadap PN semakin bertambah.

“Apa yang penting kekuatan dan kesepakatan jentera PN, gabungan antara jentera PAS dan Bersatu yang mantap menambahkan lagi perisa pada kemenangan ini.

“Terima kasih kepada semua jentera kempen PRK dari Kelantan termasuk juga DHPP yang memainkan peranan penting seolah-olah Kelantan yang bertanding pada PRK ini,” katanya lagi.

Tambahnya, PRK itu sudah tentunya akan membawa gelombang seterusnya pada PRK Nenggiri dan PRU seterusnya pada masa akan datang.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail yang mesra dengan panggilan Abang Abidin memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan sementara hari penamaan calon dan pengundian awal pada 3 dan 13 Ogos.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada 18 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN berkenaan kosong selepas menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan daripada parti Bersatu.

Ia susulan tindakan Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -