Perutusan Hijratul Rasul 1446H MB Kelantan

- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 218:

- Advertisement -

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ  ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎﴿٢١٨﴾‏     

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW adalah mempelajari Sirah Nabawiyyah yang menafsirkan Al-Quran secara amali, khusus untuk pendakwah dan penggerak Islam masa kini. Hijrah menunjukkan kewajipan menegakkan negara berdaulat yang dipimpin oleh Islam dan penganutnya yang memahami, beriman dan menghayati ajarannya.

Marilah kita menghayati tema Majlis Sambutan Hijratul Rasul SAW Peringkat Negeri Kelantan pada tahun ini iaitu “Hijrah Pemangkin Penyatuan Ummah”.

Persaudaraan sangat ditekankan kepada umat Islam dalam mengimbangi tuntutan hablun minallah (hubungan dengan Allah) dan hablun minannas (hubungan sesama manusia). Sekiranya manusia menghayati konsep persaudaraan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW terutama melalui persitiwa Hijrah ini, maka ia akan melahirkan sebuah peradaban manusia yang unggul.

Bagi mencapai matlamat penyatuan ummah, terdapat 5 perkara penting yang perlu dijadikan panduan oleh umat Islam.

Yang pertama, Hijrah merupakan sebuah peristiwa agung yang mendidik kita bahawa penyatuan yang terbina antara sesama umat Islam hendaklah didasari dengan Aqidah Islamiah. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ

Yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Dalam erti kata lain penyatuan atau perpaduan yang ingin dicapai hendaklah meletakkan kepentingan Islam di hadapan mengatasi kepentingan-kepentingan lain.

Yang kedua, umat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikon kepada penyatuan ummah. Hal ini boleh dilihat melalui sirah Baginda SAW di bumi Madinah yang berjaya menyatukan Aus dan Khazraj melalui Piagam Madinah. Tentunya segala tindakan dan akhlak Rasulullah SAW yang membawa kepada keindahan Islam itu menjadi faktor untuk membina dan mengukuhkan penyatuan ummah yang ingin dicapai ini.

Firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ‎﴿٢١﴾‏

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Yang ketiga, institusi masjid merupakan asas dalam pembinaan sesebuah komuniti. Melalui peristiwa Hijrah, kita boleh amati antara strategi awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah dengan membina masjid. Oleh yang demikian fungsi masjid tidak hanya tertumpu kepada pelaksanaan ibadah dan pendidikan agama sahaja malah masjid hendaklah dijadikan tempat  perkumpulan masyarakat yang akhirnya mampu menyatu padukan umat Islam melalui aktiviti pengimarahan masjid dengan lebih komprehensif.

Yang keempat, dalam mengukuhkan penyatuan atau perpaduan dalam masyarakat, sikap toleransi, saling hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain hendaklah dipupuk dalam kalangan masyarakat sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

الْمُسْلِمُ أَخُوْ الْمُسْلِمِ، لاَ يَظلِمُهُ، وَلاَ يَخْذُلُهُ، وَلاَ يَكْذِبُهُ، وَلايَحْقِرُهُ،

Yang bermaksud: “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, sehingga dia tidak boleh menzhaliminya, menghinanya, mendustakannya dan merendahkannya.” (Riwayat Muslim)

Yang kelima, adalah dengan menguruskan khilaf atau perbezaan pendapat dengan matang. Janganlah pula perbezaan pendapat dalam perkara cabang membawa kepada perpecahan yang akhirnya melemahkan umat Islam. Syeikh Muhammad Rashid Ridha pernah menyebut satu kaedah:

نَتَعَاوَنُ فِيمَا اتَّفَقْنَا عَلَيهِ، وَيَعْذُرُ بَعْضُنَا بعضًا فِيمَا اخْتَلَفْنَا فِيهِ

Bermaksud: “Kita boleh bekerjasama pada sesuatu yang kita sepakati, dan kita saling memaafkan pula pada sesuatu yang tidak disepakati.”

Justeru, marilah kita sama-sama menjaga perpaduan dan keamanan yang dinikmati oleh masyarakat di negara kita pada hari ini menerusi persaudaraan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan, agar ianya terus kekal dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Marilah sama-sama kita berdoa agar segala usaha kita dalam menyatukan ummah ini diberkati dan dirahmati oleh Allah. Semoga kita sentiasa berada dala perlindungan dan rahmat Allah.

YAB. Dato’ Panglima Perang
USTAZ DATO’ MOHD NASSURUDDIN DAUD,
Menteri Besar Kelantan
1 Muharam 1446H bersamaan 7 Julai 2024 – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -