
NIBONG TEBAL: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mencatatkan 8.88 peratus setakat jam 9 pagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses pengundian di sembilan pusat mengundi yang membabitkan 65 saluran mengundi telah di buka serentak jam 8 pagi tadi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.
Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff atau Abang Zam pada 24 Mei lalu akibat komplikasi di bahagian perut.
PRK pada kali ini melibatkan pertandingan dua penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, yang mesra disapa Abang Abidin dan calon Pakatan Harapan (PH), Cikgu Joohari.
Terdahulu, Abang Abidin selesai menunaikan tanggungjawab mengundinya pada 8.20 pagi tadi apabila hadir mengundi di saluran tiga Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, sementara calon PH tidak mengundi kerana merupakan pengundi luar. – HARAKAHDAILY 6/7/2024




















