
KOTA BHARU: Serangan pemikiran melalui ideologi yang menyesatkan semakin rancak menjalar ke minda anak-anak muda hari ini kesan daripada media masa dan laman sosial yang tidak bertapis.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Mohamad berkata, pemikiran barat mendekati anak-anak muda dengan hiburan tanpa batas, pergaulan bebas dan berpencak di media sosial mengikut trending semasa.
Bagaimanapun, katanya ilmu dan pengetahuan agama mampu mendidik anak muda daripada terus leka dengan gejala yang tidak diingini.
“Islam tidak menghalang umatnya berhibur, bersosial dan memanfaatkan teknologi, tetapi semua minat dan kesukaan kita perlu dipandu dengan suluhan agama.
“Ia akan berkait dengan tindak tanduk kita tidak terlepas dari perkiraan dosa, pahala, syurga dan neraka Allah,” katanya lagi ketika merasmikan Sambutan Hari Anak Muda Kelantan dan Pelancaran Liga Elit DUN 2024 di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.
Beliau melahirkan rasa syukur memandangkan Kelantan telah berjaya mengetengahkan solusi kepada masyarakat di seluruh negara dengan menganjurkan program hiburan yang mematuhi syariat berpandukan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.
Katanya, bagi merealisasikan anak muda sejahtera, kerajaan negeri telah menggagaskan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) untuk memperkukuh peranan anak muda, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Melalui dasar tersebut, terdapat 10 ciri utama anak muda Kelantan digariskan antaranya, anak muda yang beragama, bermaruah, bertanggungjawab, mengutamakan keluarga, berilmu, tekun, berani, pintar bersosial, cakna dan celik teknologi.
“Saya menyarankan Dasar Anak Muda Kelantan ini terus dirakyatkan untuk menyusun siri-siri penerangan berkenaan dasar ini agar dapat difahami oleh seluruh anak muda.
“Bagi menjayakan hasrat berkenaan perlu dimanfaatkan pelbagai platform media sosial yang wujud pada hari ini untuk menyampaikan penerangan dan mesej-mesej dakwah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/7/2024











