
KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mempersoalkan berkaitan dengan kesepadanan portfolio yang dipegang oleh seseorang menteri atau timbalan berbanding latar belakang masing-masing.
Sehubungan itu, beliau meminta kepastian sama ada kerajaan akan memberi perhatian berkaitan perkara itu.
“Apakah kerajaan bercadang untuk juga melihat kesepadanan latar belakang pendidikan menteri-menteri dan timbalan menteri Kabinet kerana bidang ini juga memerlukan kemahiran yang tinggi. Setakat mana ia sepadan?
“Kalau ia tidak sepadan adakah kerajaan bercadang untuk berikan latihan ataupun kursus kerana ini juga bidang yang perlu kita beri perhatian?” ujarnya sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini, berkaitan isu ketidakpadanan pekerjaan terutamanya lepasan-lepasan graduan dan generasi muda akan datang.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menambah, berdasarkan satu kajian oleh Khazanah Research Institute, menunjukkan daripada tiga orang graduan yang sudah bekerja hari ini, satu daripadanya bekerja dalam bidang yang bukan pengajian mereka.
“Jadi macam mana pihak kementerian nak menghilangkan jurang ini? Tadi yang disebut Yang Berhormat Timbalan Menteri ialah graduan yang belum bekerja, ini yang dah bekerja,” ujarnya.
Beliau juga memohon penjelasan timbalan menteri tentang cara terbaik untuk golongan yang sudah pun menceburi pekerjaan itu untuk melakukan transisi supaya mereka boleh mengadaptasi dengan pekerjaan mereka sekarang.
Ustaz Afnan turut membangkitkan persoalan berkenaan pihak mana yang perlu melakukan penyesuaian terlebih dahulu sama ada pihak universiti atau pun industri.
“Siapa yang nak kena mula dulu Yang Berhormat Timbalan Menteri? Universiti dulukah yang kena buat bidang pengajian mengikut keperluan pekerjaan industri?
“Ataupun industri tu kena sesuaikan penuh kerajaan ikut pengajian universiti? Jadi siapa yang nak kena mula dulu? Ia macam telur dengan ayam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, setakat ini beliau merasakan tiada keperluan untuk menilai kesepadanan antara menteri berbanding portfolio yang dipegang masing-masing.
“Saya ingat kemahiran seperti ini tak perlu rasanya. Tapi kalau bersesuaian pun perlu juga… kalau bersesuaian,” katanya.
Berkaitan dengan isu ketidaksepadanan antara bidang pengajian dan pekerjaan, beliau berkata pihak kementeriannya menyediakan portal MyFuture Jobs bagi memudahkan graduan mencari kerja yang sepadan.
“Sebenarnya angka yang diberikan 1 Januari sehingga 7 Jun 2024, sebanyak 117,557 kekosongan jawatan aktif secara kumulatif diiklankan dalam portal MyFuture Jobs.
“Sebanyak 43,937 kekosongan jawatan melibatkan syarat kelayakan diploma ke atas,” katanya.
Tambahnya, Perkeso akan terus mengambil langkah proaktif untuk memastikan pekerjaan setaraf kelulusan akademik dan kemahiran mereka.
Beliau berpandangan bahawa graduan yang bekerja di bidang yang tidak sama dengan kemahiran mungkin disebabkan minat mereka; kesukaran mendapat pekerjaan dan terpaksa memilih pekerjaan yang ada. – HARAKAHDAILY 4/7/2024











