
KANGAR: Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis telah menganjurkan Karnival Sukan Media 2.0 di Kompleks Lapang Sasar Menembak Genting Kabu, Sungai Batu Pahat, di sini Sabtu lalu.
Aktiviti ini menyaksikan kehadiran kira-kira 100 peserta termasuk pengamal media dan warga Unit Komunikasi Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Unit Penerangan Negeri, serta warga kerja MSN Perlis.
Acara menembak yang berlangsung bertujuan memperkenalkan sukan itu kepada para pengamal media di samping merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak turut hadir memberikan sokongan dan memeriahkan acara.
Kedua-dua mereka menunjukkan bakat menembak masing-masing di lapang sasar tersebut dan Mohd Shukri turut berkesempatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Acara itu juga menjadi platform bagi para pengamal media untuk berkongsi maklumat berkenaan persiapan kontijen Perlis menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak.
Seorang pengamal media, Sukairi Azwar Kadir menyatakan keterujaannya menyertai acara menembak buat kali pertama.

“Pada mulanya agak susah, namun apabila sudah mengetahui teknik menembak yang betul, aktiviti ini cukup menerujakan,” katanya yang berjaya menembak tepat beberapa kali dan membantu kumpulannya menjuarai acara tersebut.
Presiden PWP, Syed Azlan Sayid Hizar berkata, karnival seumpama itu bukan sahaja memperkenalkan sukan menembak kepada peserta tetapi juga berjaya mengeratkan hubungan antara pengamal media dan warga kerja yang terlibat.
“Kita harap acara seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang untuk terus memupuk semangat kerjasama di kalangan pengamal media Perlis dengan agensi kerajaan negeri,” katanya kepada Harakahdaily, semalam. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











