
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berterusan melaksanakan rutin turun padang bertemu dengan rakyat, menyelami kehidupan dan melihat masalah berkaitan yang memerlukan tindakan penyelesaian.
Disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil, beliau telah mengadakan lawatan ke Perumahan Pangsa Kuala Perlis, di sini semalam.
Antara diberi perhatian olehnya sempena lawatan itu adalah keadaan rumah pam yang uzur dan tidak lagi mampu berfungsi secara automatik, sebaliknya memerlukan kawalan manual secara pantauan bergilir oleh penduduk.
“InsyaAllah, kerajaan negeri mengambil cakna akan permasalahan ini dan akan membuat pembaikan dengan kadar segera,” ujar Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang.
Selain itu, beliau mengambil kesempatan beramah mesra dengan penduduk sekitar dan menziarahi penduduk sakit di mana mengalami kesukaran untuk bergerak akibat kaki yang bengkak.
Mohd Shukri juga turut menyantuni barisan hadapan negara dalam siri program Kunjung Tanya Khabar ke Balai Polis dan Balai Bomba di Kuala Perlis, di sini.
“Polis dan bomba merupakan anggota barisan hadapan yang menjadi tonggak keselamatan negara, jadi kita adakan kunjungan ini untuk bertanya khabar kepada anggota yang sedang bertugas serta melihat sendiri keadaan balai.
“Saya juga turut bertanya turut bertanya mengenai masalah-masalah jenayah yang berlaku di sekitar Kuala Perlis,” maklum beliau mengenai lawatan tersebut.
Pada lawatannya di Balai Bomba, beliau turut dibawa melihat aset-aset sedia ada dan diberi taklimat oleh mengenai sistem kerja dan liputan di bawah tanggungjawab balai tersebut. – HARAKAHDAILY 3/7/2024












