PH tunggang demokrasi demi kepentingan politik

Asmak Husin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja menafikan hak rakyat dan kebebasan bersuara, sebaliknya ‘menunggang demokrasi’ untuk kepentingan politik mereka.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Asmak Husin berkata, pelbagai sekatan dibuat sehingga menolak demokrasi dalam kempen pilihan raya.

Katanya, pemimpin kerajaan mendakwa pembangkang mengajak pengundi menterjemahkan protes terhadap kenaikan kos sara hidup menerusi peti undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dianggap mencemar demokrasi.

“Sekiranya rakyat tidak boleh menyuarakan hasrat berkaitan kehidupan mereka melalui peti undi di mana lagi saluran yang sesuai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dilapor mengeluarkan kenyataan tindakan pembangkang mengajak rakyat memprotes kerajaan melalui peti undi sebagai mencemar demokrasi.

Asmak yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Kelantan berkata, pemimpin Wanita PKR itu sebenarnya keliru maksud demokrasi sebenar.

Tambahnya, kalau melalui peti undi juga dianggap mencemar demokrasi, di mana nilai murni demokrasi sebenar.

“Sekatan dibuat kerajaan terhadap pembangkang di media sosial dan negeri-negeri pembangkang sebenarnya menodai demokrasi.

“Jadi, di mana rakyat nak bersuara untuk tegur kerajaan dengan isu kenaikan harga barang yang tidak terkawal sekarang.

“Kalau sebelum ini mereka mengatakan kita penunggang agama, saya rasa sudah tiba masanya PH digelar penunggang demokrasi.

“Sebelum jadi kerajaan tuntut kebebasan, demo sana demo sini, tuntut hak sama rata dalam media masa, tiba-tiba bila jadi kerajaan, demokrasi telah dirobekkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -