
KOTA BHARU: Lagu nasyid yang bertajuk Kudus Palestin nyanyian Kumpulan Inteam kini ditonton lebih 20,000 penonton melalui Youtube sejak ia mula dilancar 7 Jun lalu.
Lagu berkenaan merupakan kolaborasi Inteam bersama Lah Ahmad, lirik ditulis Ito Lara manakala gubahan lagu oleh ahli Inteam, Syah.
Shah atau nama sebenarnya Mohd Syahril Abdul Khalid berkata, beliau melahirkan rasa syukur kerana lagu yang dicipta khusus dengan gandingan penulis lirik Ito Lara semakin diterima masyarakat.
“Lagu ini kami dedikasikan khusus untuk umat Islam Palestin di mana liriknya lebih kepada doa dan harapan kita agar keamanan akan tercapai.
“Kami juga merakamkan ucapan terima kasih pada dunia kerana masih ramai yang pedulikan nasib umat Islam di Gaza,” ujarnya ketika ditemui selepas program Kesenian Islam Masjid Muhammadi di sini, malam tadi. (Foto atas)
Turut menyampaikan lagu-lagu nasyid Hazwan Rahman dan Kumpulan Shotul Muhammadi dan beberapa kumpulan lain.
Beliau juga berkata, tarikh 7 Jun pelancaran album ‘single’ kumpulan berkenaan mengambil sempena lapan bulan umat Islam di Palestin menderita di bumi sendiri bermula 7 Oktober tahun lepas.
Pada masa yang sama, katanya album single tersebut diterbit dan ditaja oleh MyAqsa Defenders.
Kata Shah lagi, peranan umat Islam seluruh dunia cukup besar mendoakan supaya keamanan dapat dicapai suatu hari nanti dan dapat bersujud bersama-sama di bumi Al Aqsa.
“Pendirian Inteam terhadap Palestin sama dengan semua pihak lain yang menyokong perjuangan umat Islam di sana.
“Kami turut bersama beberapa NGO lain untuk menyatakan sokongan kita kepada Palestin, contohnya dengan MyAqsa Defenders,” ujarnya.
Sementara itu, Rahim menyeru rakyat Malaysia supaya terus mendokan umat Islam di Palestin dan menyokong perjuangan mereka tanpa henti.
Menurutnya, setiap hari mereka diganasi tanpa belas kasihan oleh tentera Zionis Israel.
“Anak-anak muda boleh mengikuti media sosial berkaitan umat Islam di Palestin berkenaan penderitaan umat Islam yang kebuluran, sakit, anak kecil tidak berdosa merana dan berbagai lagi penderitaan ditanggung mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024











