Pengurusan tanah negara ketika ini bercanggah Islam

- Advertisement -

AMPANG: Orang Melayu selaku penduduk asal semakin hilang daripada bandar-bandar kerana berlakunya jual beli tanah dengan harga yang tinggi, demikian menurut pendakwah, Ustaz Zaharudin Muhammad.

- Advertisement -

Keadaan tersebut dedah beliau, disebabkan oleh Kanun Tanah Negara tidak menjamin pemilikan, kependudukan dan pengusahaan tanah di mana peruntukan terkandung terutama selepas pindaan 1986 adalah bercanggah dengan Islam.

“Akta pengambilan tanah antaranya, ada yang bercanggah dengan Islam dan dalam hadis Nabi SAW tindakan ini dikatakan sebagai zalim. Akta ini memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan,” ujarnya.

Beliau membentangkan perkara tersebut pada Perbincangan Meja Bulat Pembangunan Semula Bandar ‘Peluang dan Cabaran’ anjuran Pusat Sumber Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS.

Ustaz Zaharudin malah menegaskan betapa fiqh Islam menekankan sebarang usaha pembangunan melibatkan ke atas tanah atau pendudukan tradisi, mestilah dikekalkan unsur klasik yang dimiliki, bahkan dipulihara seni warisan itu.

Sehubungan itu katanya, jika pihak kerajaan mahu mengisytiharkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan di bawah UNESCO, maka Kampung Baru Kuala Lumpur dan seumpama itu lebih utama untuk pemeliharaan tersebut.

Jelas beliau, menurut fiqh Islam, pembangunan tanah atau bandar oleh kerajaan mahupun pihak pemaju, tidak harus menghilangkan hak setiap individu untuk memiliki tanah kerana Islam menetapkannya sebagai hak asasi.

Kerana itu terangnya, Islam tidak memberi kuasa besar kepada pemerintah, apatah lagi pemaju, sebaliknya wujud garis jelas yang ketat dalam menjamin rakyat mempunyai tanah kediaman kerana ia adalah nilai kuasa.

Ustaz Zaharudin yang berpengalaman luas dalam ekonomi dan pengurusan hartanah mengingatkan pengajaran penting penjajahan Palestin yang bermula dari penjualan tanah dan bukannya pencerobohan bersenjata.

“Dalam banyak-banyak (cara) pemilikan, yang paling kuat adalah (melalui) pembelian dan paling lemah adalah iqta’, sebab iqta’ boleh diambil semula kalau tujuan pemberian tanah itu tak tercapai.

“Tapi kalau capai syarat tujuan pemberian tanah itu, maka ia jadi hak milik penerima dan pemerintah tak boleh ambil semula. (Pemilikan secara) Ihya’ juga begitu, tak boleh (kerajaan) ambil kalau orang itu telah usahakan (hidupkan) tanah itu,” ujarnya.

Menyentuh kes-kes pengambilan tanah telah sedia diduduki lama penduduk hingga bergenerasi, namun kemudian diminta keluar atau diusir oleh kerajaan, perbuatan itu sebagaimana hadis Nabi SAW adalah jelas satu kezaliman.

Beliau juga menerangkan contoh pemberian pemilikan tanah yang diamalkan di beberapa negara secara mengikut kanun tanah Islam di mana ia boleh dijadikan panduan untuk pelaksanaan atau penyelesaian masalah di negara ini.

Berdasarkan pengalamannya, Ustaz Zaharudin tidak menolak banyak agenda pembangunan tanah ketika ini menggunakan kuasa kerajaan tetapi lebih memihak kepada pemaju berbanding menjamin hak rakyat. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -