Bangunkan tanah: Sedari muslihat yang wujud

- Advertisement -

AMPANG: Pakar hartanah, Prof Dr Ismail Omar memberi peringatan terhadap muslihat yang wujud dalam kalangan agensi mahupun aktor pembangunan tanah di negara ini di mana kelihatan seperti ‘hero’, tetapi sebenarnya ‘perompak dan pencuri’.

Tegas beliau, hal ehwal tanah adalah urusan yang sangat besar kerana ia bukan hanya perkara di permukaan tanah itu, tetapi juga langit di atasnya dan di dalamnya terdapat pelbagai khazanah galian serta dibawahnya ada air merangkumi tasik dan laut.

Tanah juga jelasnya, berkait dengan kehidupan dan budaya, serta organisasi, termasuk undang-undang dan pentadbiran, tetapi di negara ini kebanyakan menguruskan hal ehwal ini bukanlah daripada mereka yang dalam bidang tanah.

Beliau menbentang demikian pada Perbincangan Meja Bulat Pembangunan Semula Bandar ‘Peluang dan Cabaran’ anjuran Pusat Sumber Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS.

“Bila kita nak jaga tanah, penyelesaiannya mesti balik kepada the rule of the problem. That is hukum-hakam dari segi mazhab yang berkaitan,” ujarnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA).

Menurut beliau, walaupun negara mempunyai 125 akta berkaitan tanah, tetapi ia dilihat tidak dijadikan rujukan dan panduan dalam perancangan dan pengurusan berkaitan, hingga sering terjadi pertikaian, masalah dan penilaian yang salah.

Antara dikemukakannya adalah mengenai perancangan, pemeliharaan dan pembangunan semula bandar dan penyediaan infrastruktur serta prasarana kepada rakyat yang sepatutnya sentiasa ditambah baik, tetapi menjadi sebaliknya.

Akibatnya kata beliau, masalah lama tidak selesai, bertambah pula masalah baharu kerana kawalan ke atas tanah dipegang oleh orang yang tidak sepatutnya, termasuk juga mewujudkan polisi yang menekan seperti cukai pintu tinggi dan sebagainya.

Pengarah Institut Antarabangsa Alambina Malaysia (IIBEM) juga mengingatkan bahawa dalam situasi wujudnya ‘permintaan dan penawaran’ terhadap tanah pada masa kini, maka perlu ada kumpulan pendesak yang boleh menyeimbangkan keadaan.

Akta Pembaharuan Semula Bandar ujarnya, bagus untuk menjadi salah satu bentuk campur tangan kerajaan dalam perancangan pembangunan, namun ianya juga perlu melibatkan lebih ramai pihak terutama pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

Kerana jelasnya, pembangunan tanah adalah untuk kesejahteraan kehidupan yang merangkumi tidak hanya di dunia, tetapi juga akhirat, bukan hanya mengenai fizikal binaan atau keuntungan para pemaju semata-mata.

Beliau juga mengemukakan syor untuk orang Melayu memartabatkan dan mempelopor pemilikan tanah secara strategi semasa yang boleh dilakukan termasuk menerusi koperasi, perkongsian awam, dana wakaf dan sebagainya.

Melalui pelbagai usaha bersama yang boleh dibentuk katanya, Tanah Rizab Melayu dan tanah-tanah strategik serta menguntungkan orang Melayu perlu terus dipertahankan serta dimajukan sebagai harta orang Islam dan tidak dipindahkan kepada pihak lain.

Naib Canselor Kolej Universiti Geomatika ini turut menyentuh isu tanah tidak terjual di mana jelasnya adalah kerana harga mahal, oleh itu kerajaan perlukan laporan kedaya kehidupan rakyat dan memiliki mekanisme untuk membantu mereka memilikinya.

Saran beliau juga, aspek pendidikan kesedaran mengenai hal berkaitan hartanah melibatkan pengurusan, pembiayaan, pinjaman, sukuk dan hingga akta sebagainya agar  dapat ditangani atau dibentuk dari aspek Islam.

Prof Dr Ismail juga menyarankan agar satu usaha bersungguh diadakan untuk mewujudkan Kanun Tanah Islam kerana masalah tanah yang banyak berlaku adalah kerana tidak mengikut kaedah Islam. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -