Kedah rai pelajar cemerlang peperiksaan 2023

- Advertisement -

ALOR SETAR: Seramai 33 pelajar cemerlang dalam peperiksaan tahun 2023, diraikan pada Majlis Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

- Advertisement -

Kategori cemerlang itu melibatkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tahfiz Malaysia 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, Kedah mencatatkan pencapaian terbaik SPM dalam tempoh 10 tahun ini.

“Tahniah kepada sekolah Maktab Mahmud Yan atas pencapaian sekolah terbaik SPM peringkat negeri Kedah dengan GPS 1.55,” kata beliau yang juga ADUN Sungai Limau.

Gred purata bagi peperiksaan SPM tahun lalu meningkat 0.21 peratus berbanding 2022, melibatkan seramai 568 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran.

Manakala bagi peperiksaan UPKK KAFA, seramai 2,895 orang berjaya mendapat mencapai keputusan 8A.

STAM juga tidak kurang hebatnya apabila seramai 18 calon berjaya memperolehi pangkat Mumtaz dan dua orang berjaya mendapat pangkat tertinggi, Mumtaz Suffi.

Semua 33 pelajar cemerlang tersebut, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara pada majlis itu, Sanusi turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) yang memenangi Pingat Emas dalam pertandingan Pameran Pencipta Muda Dunia (WYIE) yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Kejayaan itu melayakkan mereka mewakili Malaysia ke pertandingan World Invention Creativity Olympiad (WICO) di Seoul, Korea, Julai depan. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -