
KANGAR: Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri telah membuat pertimbangan penting mengenai keadaan bangunan rumah pangsa Kuala Perlis yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pada peringkat awal, rumah pangsa tersebut didapati tidak selamat untuk didiami, namun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diminta melakukan kajian mendalam.
Kajian awal yang dijalankan terhadap struktur bangunan tersebut menunjukkan bahawa rumah pangsa itu masih boleh diperbaiki kerana umurnya yang masih muda, iaitu sekitar 25 tahun.
“InsyaAllah, satu kajian lanjut akan diserahkan kepada JKR dalam masa terdekat dan segala kos berkaitan akan ditanggung kerajaan negeri,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Katanya, keputusan itu diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah pangsa tersebut terjamin.
Langkah seterusnya adalah menunggu laporan lengkap daripada JKR sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. – HARAKAHDAILY 26/6/2024











