Petugas PRK Sungai Bakap dari Sura meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Puan Nabilah Harun yang meninggal dunia dalam kemalangan di Paka, Dungun hari ini.

- Advertisement -

“Beliau telah pergi bertemu pencipta-Nya dalam kemalangan pada 26 Jun 2024 di Paka,” ujar DMPM dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebook.

DMPM mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun turut mengucapkan takziah di atas pemergian petugas muslimat dari Cawangan Bukit Catak itu.

Menurut catatan di laman sosial Dewan Muslimat PAS kawasan, Puan Nabilah dalam perjalanan menghantar anak ke pondok di Kemaman apabila berlaku kemalangan di selekoh Pinang Merah, pagi tadi.

“Arwah baru sahaja pulang bertugas dari Sungai Bakap dan merupakan seorang yang peramah dan merupakan seorang ibu tunggal yang kematian suami. Allah lebih menyayangi beliau.

“Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun dengan rasa dukacita, mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Arwah Nabilah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi turut memaklumkan pemergian petugas DUN itu.

“Berita yang memilukan hati kami semua. Pemergian Allahyarhamah Nabila Harun. Muslimat PAS DUN Sura, terlibat dalam kemalangan jalan raya di Paka tadi.

“Moga Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Insya-Allah,” kata beliau dalam hantaran di Facebooknya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -