
TEMERLOH: Penglibatan golongan profesional dalam Dewan Muslimat PAS menjadi penyumbang utama untuk merealisasikan misi PAS Teraju Pahang, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.
Menurutnya, PAS menuju ke arah mentadbir negeri dan negara yang memerlukan ramai kalangan teknokrat dan profesional.
“Kita menuju ke arah mentadbir negeri dan negara memerlukan ramai teknokrat, perlu ramai tenaga professional dan kepakaran dalam pelbagai bidang untuk support kerajaan di negeri ini,” katanya semasa merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang kali ke-36 di Sungai Gau, di sini kelmarin.
Lantaran itu, tambahnya penglibatan anak muda khasnya dari kalangan anak-anak ahli perlu ditarik untuk berada dalam jemaah.
“Anak-anak kita yang profesional perlu bersama dengan kita supaya mereka ini akan mampu menjadi pelapis pemimpin yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan kita yang tidak bertepi.
“Usrah dan tarbiah dalam PAS boleh membentuk mereka menjadi mukmin yang kuat dalam mengurus tadbir negara dengan baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Salamiah Mohd Nor berkata tarbiah Islamiah dapat membentuk seseorang menjadi mukmin yang beramal soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT.
Namun tambahnya seorang mukmin perlu juga memberi sumbangan kepada Islam, berjihad di jalan Allah tanpa sebarang bayaran.
“Inilah pengorbanan yang ikhlas sehinggalah pengorbanan tersebut Allah memberikan bantuan pertolongan kemenangan,” ujarnya.
Katanya, kemenangan yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Lantaran itu, ujarnya muslimat perlu berperanan menyebarluaskan aktiviti-aktiviti dan pencapaian prestasi yang baik dalam kalangan Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen PAS di media sosial dan lapangan.
Ini, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh agar masyarakat dapat menilai kesungguhan PN dalam membela nasib rakyat. – HARAKAHDAILY 25/6/2024











