BN: Barang Naik, PH: Price Hike…salah rakyat?

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah kerajaan Madani tidak tahu dan tidak peduli dengan apa yang rakyat sedang lalui? Adakah ini salah rakyat tidak pandai mengurus kewangan atau salah Menteri tidak pandai mengurus negara?”

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN)  berbangga dengan Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi mereka tetapi peniaga dan pengguna kian sengsara. 

- Advertisement -

“Semakin lama mereka memerintah, harga barang semakin melambung.

“Belum genap dua tahun PH-BN menjadi kerajaan, kita sudah melihat tarif air dinaikkan, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) naik, harga diesel naik, subsidi ayam ditarik, pencen penjawat awam hendak dihapuskan dan pelbagai lagi keputusan yang membebankan rakyat.

“(Ini menunjukkan) benarnya kata orang (bahawa) mengundi BN (menyebabkan) ‘Barang Naik’, mengundi PH (pula menyebabkan) ‘Price Hike’ (harga ‘mendaki’ naik),” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Zurk meminta Kerajaan PH-BN turun ke lapangan dan melihat sendiri harga barang basah, cili padi, sawi dan kangkung di pasaran.

“Berapa banyak keluarga terpaksa menyusun semula perbelanjaan bulanan demi memastikan ada makanan terhidang di atas meja.

“Rakyat ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Bukan sahaja mempunyai Menteri yang tidak memberi nilai tambah bahkan membawa beban kepada kehidupan rakyat seharian,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -