Tambah nilai modal insan pengusaha, pengasuh taska

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melakukan tambah nilai kepada pengusaha dan pengasuh taska dari sudut modal insan.

- Advertisement -

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, perkara itu bagi menjadikan golongan tersebut menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

“Kewujudan taska yang tidak berdaftar ini kerana permintaan ibu bapa yang melebihi daripada penawaran, ertinya ibu bapa yang nak hantar anak ke taska itu lebih ramai berbanding dengan kewujudan taska yang berdaftar.

“Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh kementerian dalam menangani hal ini?” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Nancy Shukri yang menjawab soalan itu berkata, kementeriannya akan memberikan jawapan terperinci secara bertulis.

Sebelum itu, Idris meminta Menteri berkenaan menyatakan statistik bilangan taska yang dikesan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sejauh manakah tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap taska berkenaan.

Nancy berkata, sebanyak 506 taska tidak berdaftar telah dikesan dan berada di bawah tindakan oleh JKM sehingga 31 Mei lalu.

“Bagi taska yang tidak berdaftar ini, kita menggunakan pendekatan yang pelbagai, termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu lak, kompaun serta pendakwaan.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan buah taska telah dikenakan tindakan lak, 17 telah dikompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -