Malaysia perlu iktiraf kumpulan Palestin pilihan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar mengiktiraf kumpulan atau organisasi Palestin yang diiktiraf oleh rakyat negara itu secara demokrasi.

- Advertisement -

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, ia sebagai salah satu daripada kajian semula yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam berdepan isu Palestin.

“Perlu kaji semula. Kita perlu mengkaji juga pengiktirafan supaya menerima kumpulan Palestin yang diiktiraf oleh rakyat secara demokrasi seperti HAMAS dan lain-lain, bukan kumpulan yang menjadi patung kepada Barat dan Israel yang diwujudkan,” ujarnya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Luar Negeri menyatakan sejauh mana hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar ‘two-state solutions’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata ‘two-state solutions’ ditolak secara terbuka oleh Israel khusus selepas peristiwa Gaza yang kejam dan telah ada keputusan mahkamah antarabangsa.

Jelas beliau, penyelesaian dua negara itu malah bercanggah dengan ideologi zionisme untuk menubuhkan negera ‘Israel Agung’ selain tindakan beberapa pemimpin utama Israel membuat kenyataan secara terbuka menolak perkara itu untuk merampas Tebing Barat.

“Tindakan membawa pendatang Yahudi bersenjata dilindungi oleh pihak tentera dan polis; isytihar Baitul Maqdis ibu negara Israel diterima oleh US dan negara-negara Barat; merampas kediaman rakyat Palestin, toko-toko perniagaan, ladang.

“(Tindakan ini) dilindungi oleh negara Barat dengan bekalan senjata dan veto di PBB dan sebagainya walaupun berpura-pura dengan bantuan kemanusiaan yang sedikit berbanding dengan bantuan senjata yang berkali-kali ganda kepada Israel,” katanya.

Beliau dalam soalan tambahan turut meminta Kementerian Luar menyatakan apa tindakan alternatif perlu diambil oleh Malaysia dan negara OIC dalam isu itu sedangkan negara Amerika Latin telah ada yang bertindak dengan berani.

“Mengapa kita tidak mengambil tindakan iaitu mengkaji semula langkah normalisasi bukan sahaja politik tetapi termasuk ekonomi?” soal beliau.

Sementara itu Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dalam jawapannya berkata, Malaysia menyokong cadangan ataupun usul Amerika Syarikat untuk mengadakan penyelesaian kes Gaza melalui tiga fasa.

“Itu kita sokong. Semua negara sokong. Untuk fasa pertama iaitu gencatan senjata yang kekal, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan. Nombor dua pertukaran tahanan warga Palestin. Dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, dan yang ketiga ialah pembinaan semula Gaza.

“Pembinaan semula Gaza ini telah pun ada perbincangan di Amman. Bangsa-bangsa Bersatu telah pun mengadakan sidang ataupun seminar ataupun perjumpaan tergempar. Malaysia sama, saya berada di situ. Kita katakan kita akan menyokong penuh apa sahaja isu yang boleh menyelesaikan konflik ini dengan segera,” ujarnya.

Jelas beliau, isu yang paling utama pada masa ini ialah untuk menghentikan pembunuhan rakyat Palestin yang sedang berlaku dan jalan penyelesaian lain akan dicari setelah masalah itu diselesaikan. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -