
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua selepas kejayaan LCS pertama diluncurkan ke permukaan air pada 23 Mei lalu.
Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, rakyat perlu diberikan pendedahan setiap perkembangan LCS kerana ia membabitkan dana kewangan kerajaan.
“Minta Menteri Pertahanan menyatakan peratus terkini pembinaan kapal Littoral Combatant Ship (LCS) nombor dua setelah kejayaan pembinaan LCS pertama.
“Selain itu berapakah jumlah bayaran yang telah diselesaikan kepada pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) untuk kapal LCS ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menjawab soalan lisan itu berkata, kerajaan yakin dapat menyiapkan dalam tempoh yang dirancang.
Beliau berkata penyerahan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibuat secara berperingkat bermula Ogos 2026 dan pertama telah dilakukan pada Mei lalu.
Menurutnya lagi pembinaan LCS kedua kini sudah mencecah 64.66 peratus, ketiga (56.48 peratus), keempat (45.1) peratus dan kelima sudah mencapai 42.33 peratus.
Mengenai jumlah pembayaran pula kata beliau, ia dibuat berdasarkan kontrak yang ditandatangani antara kerajaan dan pihak kontraktor yang dilantik bagi tujuan itu.
“Kita tidak melaksanakan bayaran mengikut kemajuan setiap kapal secara individu, sebaliknya bayaran dilaksanakan mengikut kemajuan keseluruhan projek LCS.
“Sepertimana pandangan pihak SPRM dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan, selaras ini kerajaan telah membayar RM7.15 bilion,” katanya.
Ikmal Hisham juga berkata, penjelasan perlu berikan mengenai perancangan kerajaan menangani pergolakan di Laut China Selatan selepas LCS pertama dilancarkan baru-baru ini.
Menurutnya, sebagai langkah sementara adakah kerajaan berhasrat untuk mendapatkan sebuah kapal yang berusia antara 25 hingga 26 tahun.
Bagi memastikan kedaulatan negara terjamin, katanya kerajaan masih lagi menggunakan kapal peronda yang berusia sparuh abad untuk mengawal perairan negara diganggu kuasa besar, China.
“Adakah kementerian berminta untuk mendapatkan kapal HMASNZ dari Australia yang beru berusia dalam lingkungan 25 dan 26 tahun baru dilucukan tauliah pada bulan Mei lalu.
“Kemungkinan kapal ini boleh digunakan dengan mengambilkira kita terpaksa mentauliahkan semula Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak berusia lebih 50 tahun,” katanya.
Khaled ketika menjawab soalan tambahan itu menjelaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meneroka kajian perolehan kapal terpakai.
Beliau berkata usaha itu sebagai pendekatan ‘gap filler’ bagi menghadapi kelewatan pembinaan LCS selain menyatakan HMSNZ itu tidak sesuai dan kos perolehan tidak menguntungkan.
Malah katanya jika kerajaan melakukan perolehan HMSNZ, maka proses perolehan itu akan mengambil masa sangat lama iaitu sehingga 2027 sedang pada tahun itu dua LCS sudah disiapkan.
“Baru-baru ini kita juga telah membuat perolehan membeli tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) daripada Turki dan tiga-tiga kapal ini akan siap menjelang akhir tahun 2027.
“Jadi lima kapal akan mula berkhidmat 2027 dengan TLDM, jadi hampir keseluruhan HMSNZ maka kita membuat keputusan bahawa ia tidak sesuai,” katanya.– HARAKAHDAILY 24/6/2024











