
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka garis panduan siber yang lebih ketat bagi mengatasi isu trend sisi gelap di media sosial.
Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, trend itu perlu dibanteras dengan pantas supaya dapat mengelakkan dari merebak ke seluruh lapisan masyarakat terutamanya golongan pelajar, mahasiswa dan remaja.
“Apakah wujud keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil dalam usaha ini,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia untuk bekerjasama bersama badan NGO bagi mengatasi isu itu secara menyeluruh.
“Isu ini semakin serius. Oleh itu kita perlu mendapatkan sokongan daripada semua pihak termasuk Yang Berhormat Pembangkang untuk sama-sama kita tumbangkan fikiran dan usaha trend sisi gelap dan pastikan bahawa isu ini boleh ditangani dengan lebih baik,” katanya.
Sebelum itu, dalam soalan asal, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) meminta menteri berkenaan menyatakan perancangan kerajaan bagi membanteras budaya sisi gelap dan tindakan yang diambil oleh kementerian terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram.
Nie Ching berkata, kementeriannya menerusi MCMC telah melaksanakan tindakan sekatan ke atas 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran, manakala tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan MCMC melibatkan kandungan lucah.
“Tindakan ini akan diteruskan oleh MCMC dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024











