
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan secara rasional berhubung kenaikan siling gaji diinsuranskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, kenaikan had maksimum kebolehinsurans itu akan dipinda lagi dalam tempoh dua tahun.
“Apakah rasionalnya pindaan yang begitu cepat kalau ia merupakan satu perkara yang keperluan kerana kos sara hidup rakyat semakin tinggi, kenapa perlu melalui proses sebegini?
“Adakah ada proses yang lebih cepat untuk pihak kementerian laksanakan supaya boleh memberikan perlindungan kepada semua rentas kepada rakyat?
“Selain itu, berapakah anggaran wang terkumpul daripada kutipan kerana kenaikan had maksimum ini,” katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairil turut memohon kepada kerajaan untuk menyatakan jumlah kes yang telah diuruskan oleh Perkeso secara terperinci dan jumlah pampasan yang telah diberikan kepada pencarum bagi menghadapi sebarang musibah sewaktu bekerja.
“Bagaimana pendapat pihak kerajaan kalau kita boleh memanjangkan perlindungan ini kepada bukan pada waktu bekerja sahaja kepada waktu 24 jam?” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menyatakan stataus peruntukan RM200 juta kepada Perkeso sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
“Kita mohon perincian kepada perancangan kerajaan dalam memanfaatkan sebaiknya peruntukan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024











