
KUALA LUMPUR: Walaupun kerajaan menjadikan alasan penyeludupan bagi meningkat harga diesel RM3.35 daripada RM2.15 seliter, tetapi aktiviti itu dilihat masih berlaku.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Perikatan Nasional (PN) hanya mempertikaikan pelaksanaan hasrat tersebut biarpun menghormati keputusan kerajaan.
Beliau juga maklum apa yang berlaku di Kelantan khususnya di perbatasan negara, pihak berkuasa berhadapan tindakan ganas penyeludup termasuk menggunakan senjata api.
“Pendirian kita jelas pendirian kita menghormati keputusan kerajaan tetapi yang kita persoalkan ialah pelaksanaan hasrat itu, saya nak menekankan sudut penguatkuasaan pencegahan.
“Jadi apa perancangan kerajaan untuk melindungi penguat kuasa kita ini supaya pencegahan itu dapat dijalankan dengan baik,” katanya semasa soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Kewangan II, Senator Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan dalam jawapannya mengakui penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan aktiviti itu.
Katanya, kerajaan berharap dengan peningkatkan mendadak harga diesel tersebut dapat mengurangkan minat dan kebolehan penyeludup untuk membawa keluar bahan api itu dari negara ini.
“Penyasaran subsidi diesel dilaksanakan dengan kadar harga pasaran akan mengurangkan kebolehan mereka untuk mendapatkan wang yang lebih dari aktiviti penyeludupan ini.
“Tetapi kalau kita lihat cara kerajaan membuat dia bukan buat satu agensi sahaja, inilah gabungan semua agensi di bawah kerajaan termasuk kastam, polis dan sebagainya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penyeludup melepaskan tembakan ke arah penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu operasi di Sungai Golok dekat Pengkalan Kubor.
Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya mengesan sebuah bot enjin galah sedang mengangkat tong yang dipercayai mengandungi petrol dan diesel.
Dalam kejadian tersebut penyeludup melepaskan tiga das tembakan kepada penguat kuasa termasuk ke udara bagi menghalang rampasan bahan api tersebut dilakukan oleh pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 24/6/2024











