
KUALA LANGAT: Amalnita disaran supaya lebih fokus kepada wanita dan generasi masa kini kerana mereka pembentuk generasi akan datang.
Penasihat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, generasi akan datang yang bakal mencorak masa depan negara, sewajarnya dibimbing bermula sekarang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata demikian selepas perbincangan dua hala bersama Ketua Amalnita Pusat, Noor Hanim Ismail, di sini petang kelmarin.
Katanya, sosio budaya kehidupan remaja dalam kalangan wanita ini berbeza berbanding dahulu.
“Peluang untuk mereka berada di luar itu lebih tinggi sama ada untuk belajar, bekerja dan cabaran berada di luar itu pula lebih besar.
“Jadi dia kena ada kumpulan untuk kehidupan mereka dan kumpulan untuk mereka itu semestinya bersesuaian dengan agama kita supaya dapat menjadi pelindung mereka bila berada di luar,” katanya lagi.
Tambah beliau, ia adalah antara perkara yang perlu diterapkan untuk generasi akan datang.
Menurut beliau, sekiranya remaja masa kini ‘asyik’ dengan media sosial, generasi yang akan datang akan lebih ‘leka’ berbanding kehidupan bermasyarakat.
Beliau turut mencadangkan, ketika anak muda hari ini mengejar impian, bermedia sosial, pada masa yang sama pemimpin masyarakat perlu membina ketahanan jati diri mereka agar tidak mudah hanyut.
Beliau turut menyentuh Yayasan Amal Malaysia dan Amalnita sendiri sejak awal lagi membina identiti masyarakat melalui gerak kerja kebajikan dengan membantu masyarakat khususnya yang terkena musibah.
Menurutnya, sikap tanggung jawab itu menyebabkan masyarakat telah mengenali badan NGO yang bekerja setulus hati biarpun tidak memperomosikan ‘diri’.
“Sebenarnya masyarakat sedang menunggu kehadiran kita dan program yang tertentu untuk kepentingan wanita ini sebenarnya banyak yang boleh kita ungguli.
“Dari kacamata Yayasan Amal sendiri bukan satu yang baru, tetapi hampir 20 tahun namanya terpahat di jiwa masyarakat, bukan hanya dalam negara, sebaliknya peringkat antarabangsa, ” katanya.
Menurutnya, keterlibatan Yayasan Amal dalam misi kemanusiaan sebagai contoh di Acheh, sebenarnya ia turut mendidik anggota untuk mengukuhkan NGO ini.
Untuk itu, katanya memperkukuhkan Yayasan Amal itu adalah perkara yang sangat penting dan setiap anggota serta perlu bertanggungjawab untuk usaha ini. – HARAKAHDAILY 23/6/2024












