
MACHANG: Keamanan yang kecapi hari ini adalah hasil perjuangan gigih perwira negara yang sentiasa mengorbankan tenaga dan masa demi memastikan keselamatan tanah air.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tanpa pengorbanan mereka keamanan yang dikecapi tidak diwarisi oleh generasi hari ini.
Menurutnya, setiap titisan keringat yang mengalir dan darah pengorbanan yang tumpah dari pejuang negara, terutama veteran komando hendaklah sentiasa dikenang dan disanjung tinggi oleh sesiapapun.
“Pengorbanan mereka bukan sedikit, penat lelah mereka bukan sebarangan, jadi hargailah keringat mereka walaupun kini mereka telah bergelar veteran,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Veteran Komando Malaysia Cawangan Kelantan Kali Ke-20 di Dewan Majlis Daerah Machang di sini.
Beliau berharap, semangat perjuangan dan pengorbanan itu terus diwarisi oleh generasi masa kini dan akan datang demi mengekalkan keamanan serta kemakmuran negara tercinta.
ADUN Temangan itu juga turut berharap khidmat anggota veteran komando itu masih diperlukan masyarakat.
“Jadi, teruslah berjuang bersama masyarakat, jagailah keamanan masyarakat dengan ilmu dan kemampuan yang ada,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/6/2024











