MB yakin kerusi DUN Nenggiri kekal milik PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, menaruh keyakinan kerusi DUN Nenggiri akan kekal menjadi milik Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

- Advertisement -

Katanya, bukan hanya kerana kemarahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan PH BN memerintah negara, sebaliknya prestasi wakil rakyat PN itu sendiri telah mencuri hati rakyat.

Untuk itu, katanya rakyat Kelantan khususnya golongan muslimat perlu bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi PRK itu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan Ke-51, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), dekat sini semalam.

Beliau berkata, PRK DUN Nenggiri bakal diadakan berikutan kekosongan kerusi berkenaan sebagaimana yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah baru-baru ini.

“Peranan kita cukup besar dalam melaksanakan tugas untuk menyebarkan agama Allah, menjaga kebajikan masyarakat pelbagai kaum dan berbagai lagi.

“Mungkin kita akan berhadapan dengan beberapa siri PRK akan datang bukan hanya di DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang, DUN Nenggiri, Gua Musang, tetapi beberapa Parlimen lagi,” katanya.

Beliau berkata, peranan muslimat hari ini dalam menyebarkan risalah perjuangan Islam sama seperti dahulu, cuma kaedahnya sahaja yang berbeza.

Katanya, kebolehan muslimat yang ada hendaklah digunakan sebaiknya untuk kepentingan Islam, masyarakat dan negara. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -