
LANGKAWI: Sebanyak enam Anugerah Khas disampaikan kepada amilin muslimat terpilih sempena Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah Kali Ke-55, di Adya Hotel, di sini semalam.
Anugerah Prihatin Sejahtera diberikan kepada Nurfarakhin Razali, Anugerah Jasamu Dikenang (Rahmah Abu Bakar), Anugerah Isteri YB (Dr Rahimah Sahit), Anugerah Istiqamah (Robeah@Aisyah Don) termasuk Anugerah Anak Muda (Nur Amirah Najihah) dan Anugerah AKIFI kepada Suaidah Othman.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, anugerah tersebut sebagai penghargaan kepada mereka yang banyak memberi sumbangan kepada PAS khususnya muslimat dalam pelbagai bidang.
“Anugerah ini sebagai menghargai peranan, sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan menjayakan program-program anjuran Dewan Muslimat Negeri Kedah dan kawasan,” kata beliau.
Sementara penyampaian anugerah itu disempurnakan Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad yang merupakan perasmi majlis tersebut.
Majlis malam semalam turut menyaksikan Gimik Khas Pelancaran Dana Pilihan Raya Ke-16 yang disempurnakan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah di mana semua Dewan Muslimat Kawasan perlu mengumpul dana pilihan raya sebanyak RM10,000 selama dua tahun.
Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah kali ke 55, berlangsung selama dua hari bermula 21 Jun dan dihadiri perwakilan dan pemerhati dari seluruh Dewan Muslimat Kawasan-kawasan negeri itu.
Pemilihan Hotel Adya sebagai lokasi program adalah untuk mengenang jasa serta pengorbanan Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak membangunkan hotel berkenaan di pulau tersebut ketika beliau menerajui Kedah sebagai Menteri Besar Kedah dahulu. – HARAKAHDAILY 22/6/2024













