
KOTA BHARU: Bersatu Kelantan tidak menghalang hasrat bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim mahu membawa kesnya ke mahkamah susulan kekosongan kerusi yang disandang sekarang.
Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata, tindakan itu tidak akan menghalang proses seterusnya kerana parti sudah mengikut peraturan dan undang-undang.
“Sebelum ini pimpinan atasan parti menghantar notis dan pemakluman kepada bekas ADUN itu supaya mengikut peraturan sewajarnya,” katanya di sini.
Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah pagi tadi mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri berikutan wakil rakyat terbabit didakwa melanggar arahan parti kerana memberi sokongan kepada parti lawan.
Katanya kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula hari ini dan pemakluman melalui surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dihantar segera.
Mohd Azizi yang mewakili Bersatu sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membelakangi arahan parti.
Berikutan itu Mohd Aziz dan lima lagi wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Langkah serupa juga diambil ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kamarudin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, beliau sudah menjangkakan kerusi DUN Nenggiri akan dikosongkan berikutan Mohd Azizi sudah kehilangan keahlian Bersatu.
“Kita memang menjangka perkara itu berlaku selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang berkuatkuasa 1 April lalu,” katanya.
Sementara itu, sebuah portal berita mendakwa Mohd Azizi mahu membawa kes tersebut ke mahkamah selepas mengadakan perbincangan dan pandangan dengan peguam. – HARAKAHDAILY 19/6/2024











