
SANDAKAN: Terukir senyuman di wajah asnaf sebagai tanda kegembiraan menerima manfaat daging korban menerusi Program Korban PAS Kawasan Sandakan di Taman Indah Jaya dekat sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Sahar Abdul Majid mengingatkan kepada semua asnaf agar terus bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang Allah kurniakan.
“Apa sahaja nikmat yang Allah berikan kepada kita, hendaklah kita bersyukur dengan nikmat itu walaupun ianya dalam jumlah yang sedikit,” jelasnya.
Hadir sama ialah Ketua Penerangan dan Ketua Muslimat PAS negeri, Mustaman Mustain dan Norsah Bongsu.
Pengarah program, Jabal Neor pula memberitahu sebanyak lapan ekor lembu dan seekor kerbau telah dikorbankan pada tahun ini.
“Alhamdulillah kesemuanya berjaya kita korbankan pada tahun ini. Dan daripada jumlah itu kita dapat menyediakan lebih 500 pek daging untuk diagihkan kepada asnaf kita di sekitar daerah ini,” katanya.
Tambahnya, dengan pengagihan daging korban itu mampu memberikan perasaan gembira di wajah asnaf.
“Alhamdulillah, walaupun tidaklah begitu banyak dapat kami agihkan pada tahun ini, namun sudah cukup untuk menzahirkan kegembiraan mereka dapat merasa keberkatan daging korban itu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/6/2024











