
KUBANG PASU: Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) telah membangunkan Rumah Sejahtera bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri di Mukim Binjai, di sini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemohon mestilah menepati kriteria serta syarat yang ditetapkan oleh pihak bank untuk membuat pinjaman.
“Sasaran pemiliknya tidaklah yang terlalu miskin, nanti tidak lepas syarat loan (pinjaman) pula jadi kena ada pendapatan dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak bank,” jelasnya.
Dalam pada itu faktor umur juga kata beliau, memainkan peranan berikutan tempoh membayar semula pinjaman bank itu adalah selama 25 tahun.
“Rumah ini kos keseluruhan sebuah rumah termasuk infra sebanyak RM114,000 tetapi dijual kepada pemohon hanya RM32,000.
“Sebahagiannya dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan PKNK menyediakan tapak (tanah) seluas 4.67 ekar untuk projek ini.
“Dahulu projek ini dinamakan My Beautiful New Home, bahasa orang putih (Inggeris) tapi mai (mari) kat kita, kita ubah pi bahasa Melayu, Rumah Sejahtera,” katanya pada majlis penyerahan kunci Rumah Sejahtera tersebut, semalam.
Dalam pada itu, Sanusi memuji pendekatan pembayaran Perumahan Awam melalui bank kerana lebih mudah berbanding kaedah yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
Pendekatan ini tegasnya mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab selain mempercepatkan pulangan semula kepada Kementerian Kewangan (MOF).
“Dahulu, kerajaan menunggu pemilik datang membuat bayaran namun kesannya ramai dari kalangan mereka tidak membuat pembayaran yang akhirnya kerajaan menanggung kerugian berpuluh juta Ringgit,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 23 orang menerima kunci rumah masing-masing manakala baki 27 pemilik lagi masih dalam tapisan pihak bank walaupun sudah berjaya pada senarai pemilihan.
Justeru ADUN Jeneri itu mengharapkan agar pihak bank dapat memberi kelonggaran walaupun beliau akur antara prosedur institusi kewangan untuk memastikan pemohon mampu membuat bayaran balik pada pinjaman yang diluluskan
“Saya ucapkan terima kasih dan kepada pihak yang terlibat khususnya MOF dan PKNK dan tahniah kepada penerima kunci kediaman.
“Nasihat saya, dok (duduk) elok-elok, jangan bergaduh, jaga hak jiran, ini kawasan perumahan baharu, tempat cantik, ada sawah padi, tasik, bukit, kira ‘view’ (pemandangan) pun dah mahal,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, jelasnya kerajaan negeri juga dalam perancangan terkininya untuk membina Kampung Tersusun melalui kerjasama agensi-agensi tertentu.
“Kalau ada agensi yang nak tolong buat rumah, kerajaan negeri boleh sediakan tanah, buat infra. Saya syorkan contoh kalau KEDA atau Lembaga Zakat nak buat rumah, kita alu-alukan,” jelasnya lagi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat.
Projek perumahan 50 unit Rumah Sejahtera di Mukim Binjal dibangunkan PKNK menyasarkan golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri dengan ekses yang lengkap.
Rumah berkembar semi-D yang mempunyai tiga bilik tidur, satu ruang tamu, dapur dan bilik air itu mempunyai keluasan 750 kaki persegi dan selesa didiami untuk sebuah keluarga.
Projek yang bermula pada tahun 2018 itu mendapat peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak kira-kira RM5.2 juta daripada keseluruhan kos berjumlah RM5.8 juta.
PKNK sebagai anak syarikat kerajaan negeri telah menampung kelebihan kos tersebut menjayakan projek berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/6/2024














