KMI Kuala Terengganu raih Anugerah Kecemerlangan Industri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu) meraih kemenangan pertama dalam Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024.

- Advertisement -

Pengurus Besarnya, Salina Long berkata, dengan memenangi anugerah itu mengukuhkan lagi dedikasi pihaknya untuk menetapkan piawaian tertinggi dalam perkhidmatan kesihatan dan misi yang berterusan untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan kecemerlangan operasi.

Katanya, pengiktirafan berprestij daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menandakan pencapaian luar biasa Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan inovatif kepada masyarakat.

“Penilaian untuk AKI 2024 adalah berdasarkan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), sebuah kerangka penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang digunakan untuk mempromosikan amalan terbaik global dalam kecemerlangan perniagaan.

“Kami amat berbesar hati menerima Anugerah Kecemerlangan Industri 2024. Penghargaan ini adalah bukti kerja keras seluruh pasukan kami, yang komited terhadap kecemerlangan memastikan kami sentiasa memenuhi keperluan pesakit dan kepentingan semua pemegang taruh kami.

“Kami juga berbangga menjadi syarikat pertama dari Terengganu yang merangkul anugerah nasional ini. Kami bersyukur atas pengiktirafan ini dan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek perkhidmatan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun yang mewakilinya bersama Pengarah Eksekutif TDM Berhad Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali serta Ketua Jabatan Pemasaran dan Jualan, Nurfarahayu Yusof hadir ke majlis untuk menerima anugerah berprestij berkenaan.

Untuk rekod, AKI merupakan anugerah tahunan yang diiktiraf di peringkat nasional bertujuan untuk menghargai sumbangan industri terhadap pembangunan ekonomi negara.

AKI adalah pengiktirafan penting oleh Kerajaan Malaysia yang direka untuk meraikan syarikat-syarikat yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor masing-masing.

“KMI Kuala Terengganu diketengahkan kerana perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, amalan pengurusan yang inovatif, dan peranannya dalam memajukan industri kesihatan di Malaysia,” kata Salina.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam penjagaan kesihatan dan memberikan nilai yang tiada tandingan kepada komuniti.

Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu sebelum ini dikenali sebagai Kuala Terengganu Specialist Hospital telah ditubuhkan pada September 2006 dan merupakan sebuah hospital swasta berlesen yang pertama di negeri ini.

Terletak strategik di pinggir bandar Kuala Terengganu, KMI dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan moden untuk kepuasan pelanggan.

KMI Kuala Terengganu diuruskan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI), bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad, yang juga mengendalikan KMI Kuantan di Pahang, KMI Kelana Jaya di Petaling Jaya, KMI Taman Desa di Kuala Lumpur dan KMI Tawau di Sabah. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -