UMK terima anugerah Aziz-Ul Haq Rural Development Medals

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan universiti pertama di Malaysia menerima anugerah Aziz-Ul Haq Rural Development Medals daripada Centre on Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP).

- Advertisement -

Naib Canselor UMK, Dato’ Prof Dr Razli Che Razak berkata, sebanyak 15 negara menganggotai CIRDAP iaitu Afghanistan, Bangladesh, Fiji, India, Indonesia, Iran, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Katanya, itu diterima Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) UMK.

Kata beliau, pencapaian InsPeK UMK di peringkat antarabangsa dinilai berdasarkan pengurusan yang efisien dan sumbangan kepada pembangunan luar bandar.

“Ia juga termasuk meningkatkan kualiti hidup, mengurus kemiskinan dan bersama dalam isu keterjaminan makanan kepada masyarakat luar bandar di Malaysia.

“InsPeK UMK kini menjadi organisasi contoh di peringkat Asia dan Pasifik dalam menguruskan isu masyarakat luar bandar bandar dan kemiskinan,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Aziz-Ul Haq Rural Development Medals di Bangkok, Thailand hari ini. (Foto atas)

Majlis kali ke-24 itu dihoskan Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand secara giliran. Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.

Anugerah terbabit diterima Dr Razli dan Pengarah InsPeK, Prof Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail sebagai mewakili UMK dan Malaysia.

Sementara itu, Dr Wan Ahmad Amir berkata, anugerah itu amat bermakna kepada InsPeK UMK sempena genap 10 tahun ditubuh di UMK.

Katanya, InsPeK UMK antara 10 penerima dalam kategori organisasi yang menerima anugerah program kali ke-24 bersama penerima dari Kuwait, Filipina, Bangladesh, Thailand dan Myanmar.

“Pemilihan InsPeK UMK yang mewakili Malaysia bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas pihak komite eksekutif CIRDAP bersidang pada 23 September 2023 untuk mencari calon yang berpotensi.

“Pada 28 Februari lepas komite eksekutif memutuskan InsPeK UMK menerima anugerah tersebut setelah lulus saringan ketat dengan kriteria yang khusus,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -