Aktivis pro-Palestin gesa Macklemore batalkan konsert di UAE

Macklemore digesa membuktikan sokongannya terhadap Palestin dan Gaza dalam erti kata sebenar dengan membatalkan konsertnya di UAE. (FOTO: The Express Tribune)
- Advertisement -

DUBAI: Aktivis dan pengguna media sosial menggesa penyanyi rap  Amerika Syarikat pro-Palestin, Macklemore agar membatalkan konsertnya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebagai tanda solidariti buat Gaza.

Macklemore meraih perhatian meluas sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas muncul dengan lagu, Hind’s Hall sebagai tanda solidariti terhadap nasib penduduk Palestin di Gaza, yang diilhamkan daripada gerakan pro-Palestin yang melanda kampus universiti di seluruh Amerika Syarikat pada tahun ini.

- Advertisement -

Macklemore dijadualkan membuat persembahan pada 4 Oktober depan di Arena Coca-Cola dengan aktivis menunjukkan bahawa jenama minuman ringan itu berada dalam senarai boikot kerana didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat Israel.

Laman web rasmi Coca-Cola Arena tidak menjelaskan sama ada penyanyi rap itu akan mempersembahkan lagu popular terbaharunya itu dalam konsert tersebut.

Pengumuman itu disambut dengan beberapa keraguan dan kecaman daripada pengguna media sosial dan aktivis, yang menggesa Macklemore membatalkan konsert berkenaan, terutamanya memandangkan sokongannya terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza.

“Hei Macklemore, batalkan konsert yang dirancang di Dubai di Arena Coca-Cola. UAE ‘secara tidak langsung’ terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza, tetapi juga terlibat secara langsung dengan genosid di Sudan dan Congo.

“Terdapat kempen menyeru semua orang untuk memboikot kedua-dua UAE dan Coca-Cola,” tulis seorang netizen di X.

Sementara netizen yang lain menggesa Macklemore untuk menonjolkan kekejaman yang berlaku di Sudan, negara di mana sekurang-kurangnya 15,550 telah dilaporkan terkorban sejak permulaan keganasan pada April 2023.

“Hei Macklemore, saya sekali lagi meminta anda untuk mempertimbangkan pembebasan rakyat Sudan sama pentingnya dengan pembebasan rakyat Palestin. Sila batalkan konsert anda di Dubai di Arena Coca-Cola. Boikot UAE,” kata seorang lagi netizen

Walaupun UAE telah menafikan membekalkan senjata atau peluru kepada mana-mana puak yang berperang di Sudan, Human Rights Watch sebelum ini berkata, keganasan di Sudan boleh menyamai tragedi pembunuhan beramai-ramai, lapor The New Arab.

“Saya fikir jika Macklemore membatalkan tarikh lawatannya di UAE ia bukan sahaja membantu dengan memboikot UAE tetapi ia akan memulakan wacana tentang kehadiran mereka di Sudan dan itulah yang kami perlukan. 

“Kami memerlukan seseorang yang mempunyai platform yang akan mencetuskan heboh. jika mereka berdiri dalam solidariti,” kata seorang lagi netizen.

Terdahulu, Macklemore telah lantang bersuara atas sokongannya kepada Palestin, dan konsertnya baru-baru ini telah dipenuhi dengan peminat yang mengibarkan bendera Palestin.

Pemilik nama sebenar, Benjamin Hammond Haggerty, 40, itu sebelum ini sering menyarungkan keffiyeh di bahunya, yang mewakili solidariti dan ketahanan Palestin, dan sering memakai lencana bendera Palestin, atau pelekat ‘Bebaskan Palestin’ dalam persembahan konsertnya.

Pada Oktober 2023, Macklemore menimbulkan kebimbangan umum mengenai perang ke atas Gaza dan mengkritik penglibatan Amerika Syarikat susulan peranannya sebagai sekutu Israel.

“Kami sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Palestin pada masa ini. Malapetaka manusia yang disokong Amerika Syarikat di depan mata kami. Gaza sedang dirobohkan,” katanya dalam catatan Instagram.

Lebih 36,500 rakyat Palestin di Gaza telah dibunuh oleh tentera Israel sejak 7 Oktober 2023, dengan sekurang-kurangnya 83,000 cedera dalam jangka masa yang sama.

Menurut laman berita Israel, The Jerusalem Chronicle, Macklemore membuat rujukan kepada Palestin dalam konsert terbaharunya di Jerman baru-baru ini.

“Satu-satunya cara kita boleh menebus masa lalu kita ialah pada hari ini adalah dengan menentang apartheid…menentang penjajahan untuk membebaskan Palestin. Itulah satu-satunya cara,” katanya. – Agensi-HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -