
KOTA BHARU: Kerjasama Kelantan dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkasakan syariat Islam dibincang pada pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), semalam.
Menteri Besar (MB), Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, komitmen kerajaan negeri untuk mengembangkan dakwah dan pengajian Islam di Kelantan disentuh pada pertemuan dengan Senator Dr Zulkifli Hassan.
“Saya juga memberitahu Timbalan Menteri bahawa Kelantan terkenal dengan gelaran Serambi Mekah kerana subur sebagai pusat pengajian Islam dan program dakwah,” katanya pada hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Dr Zulkifli mengunjungi hormat Menteri Besar di Kota Darulnaim. Hadir sama pada pertemuan tersebut Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Mohd Nassuruddin juga berkata, di bawah fasa Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) agenda pemerkasaan agama dan dakwah diteruskan.
Kata beliau langkah itu membuka ruang bagi memartabatkan syariat Islam.
“Kerajaan negeri dalam Bajet 2024 memperuntukkan RM2 juta bagi program pembangunan pondok atau pusat tarbiyah dan RM300,000 bagi program dan penerbitan bahan-bahan dakwah.
“Insya Allah, semoga usaha dan kerjasama ini dipermudahkan untuk memperkasakan dan memartabatkan lagi syariat Islam di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024











