
KUALA TERENGGANU: Terengganu terus memegang rekod cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 dengan merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.41 mengatasi Gred Purata Nasional 4.6.
Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata, keputusan yang direkodkan tersebut menunjukkan peningkatan 0.18 berbanding yang direkodkan pada tahun lalu iaitu 4.59.
Kata beliau, seramai 464 pelajar daripada keseluruhan 16,783 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan semua A (A+, A, A-) berbanding 333 calon pada 2022.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 0.76 peratus berbanding keputusan yang direkodkan pada 2023 serta peningkatan 0.01 peratus bagi keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.
“Tahun ini, empat buah sekolah lulus 100 peratus bagi semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kemaman tersenarai sebagai sekolah gred purata sekolah (GPS) terbaik dan sekolah peningkatan semua A tertinggi.
“Tiga lagi sekolah terbaik diungguli Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, SMKA Sheikh Abdul Malik dan SM Imtiaz YT Kuala Berang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini, hari ini.
Menurut beliau, keputusan SPM 2023 berjaya mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar dengan -0.68 gred purata lokaliti.
Sementara itu, Jelani berkata, secara keseluruhan keputusan SPM bagi negeri ini pada tahun lalu menunjukkan peningkatan pencapaian keseluruhan melibatkan semua sekolah dalam bandar dan luar bandar di semua daerah.
“Semua daerah merekod peningkatan gred purata daerah (GPD) yang memberangsangkan dan kita merakam jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus memastikan kecemerlangan anak-anak kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024











