Wakil rakyat rakam takziah pemergian wirawati negara

- Advertisement -

PENDANG: Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim merakam ucapan takziah kepada keluarga wirawati negara, Sarjan Faridah Abd Rahman yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALLBATT 850-11, semalam.

- Advertisement -

Allahyarhamah Sarjan Faridah, 36, yang berasal dari Pendang dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 2.25 pagi waktu tempatan (7.25 pagi waktu Malaysia) apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah, Lubnan.

“Saya ucapkan takziah terutama kepada suami dan keluarga Allahyarham atas pemergian yang tak disangka ini. Allahyarham seorang wirawati negara yang berkhidmat untuk keamanan awam di luar negara,” katanya.

Beliau bersama ADUN Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman telah berkunjung ke rumah bapa Faridah di Kampung Sungai Mati yang turut didiami suami serta anak-anak Allahyarhamah, hari ini.

Sarjan Faridah mula berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2017 dan ditugaskan di Kor Agama ATM (KAGAT) sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.

Allahyarhamah telah diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11, bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di mana baharu sahaja kembali bertugas di Lubnan setelah pulang bercuti di kampung, di Malaysia.

Allahyarham akan disemadikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Tualang, Pokok Sena sebaik sahaja jenazah tiba di tanahair yang dijangka pada Rabu ini.

Terdahulu, menurut laporan media tempatan, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Hammoud, Saida di Lubnan untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pegawai Tidak Bertauliah Kanan MALBATT 850-11, UNIFIL itu meninggalkan empat orang anak berumur antara empat hingga 10 tahun dan salah seorangnya anak istimewa (OKU). – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -